Friday, April 07, 2006

Akidah manakah yang benar?

Saudara Pengarang,
SETELAH membaca komentar daripada Khairul Effendi Hashim di dalam ruangan Pendapat pada 29 November 2005, saya dapat merasakan bahawa beliau belum begitu memahami mengenai fahaman Wahhabi.

Kebanyakan orang awam menyangka bahawa perselisihan golongan Wahhabi dengan golongan ahli sunnah (Al-Asya'irah & Al-Maturidiah) hanya tertumpu di bidang ranting dan furuk syariat semata-mata dan tidak lebih daripada itu.

Namun jika kita membaca tulisan tokoh-tokoh Wahhabi maka kita akan mendapati bahawa perselisihan antara mereka dengan golongan Ahli Sunnah Waljamaah juga bersangkut paut dengan soal akidah. Tidak pernahkah saudara Khairul Effendi membaca atau terbaca tulisan tokoh-tokoh Wahhabi yang mengharamkan pembelajaran tauhid sifat 20 yang merupakan suatu ilmu yang dipelajari oleh umat Islam yang tinggal di rantau Asia Tenggara bahkan hampir di seluruh dunia Islam?

Tidakkah saudara pernah terbaca buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh Wahhabi yang mendakwa Allah Taala itu tempat-Nya di langit? Sebagai seorang pembimbing jemaah haji yang sudah tentu sering berulang alik dari tanah air ke tanah suci maka adalah suatu yang agak ganjil jika saudara tidak mengetahui mengenainya. Iktikad yang dipegang oleh golongan Wahhabi yang mendakwa bahawa Allah itu wujud dengan memerlukan tempat sudah cukup untuk membuktikan bahawa golongan Wahhabi tergelincir daripada kelompok Ahli Sunnah Waljamaah.

Berbalik kepada soal ranting seperti masalah qunut subuh, tahlil, talqin mayat, baca Yasin malam Jumaat, berzikir dengan kuat selepas solat dan beberapa perkara lain maka hal ini sebenarnya sudah lama diselesaikan oleh ulama-ulama mazhab yang empat. Namun sayangnya golongan Wahhabi mengeruhkan kembali isu ini dengan mendakwa bahawa orang yang melakukan amalan-amalan yang disebutkan itu tadi telah melakukan suatu perkara mungkar dan bidaah yang melayakkan diri mereka dihumban ke dalam neraka!

Orang yang bermazhab Syafie tidak akan marah kepada orang-orang yang tidak berqunut di dalam solat subuh seandainya mereka itu tidak menghukumkan sesat ke atas orang-orang yang melakukan qunut. Apalah sangat orang yang tidak berqunut jika dibandingkan dengan orang yang langsung tidak menunaikan solat subuh. Selama ini pun orang-orang yang bermazhab Syafie juga mengetahui bahawa sahabat-sahabat mereka yang bermazhab Hanafi tidak membaca doa qunut di dalam solat subuh.

Namun demikian tidak timbul sebarang perselisihan di antara mereka disebabkan sahabat-sahabat mereka yang bermazhab Hanafi tersebut tidak pernah menghukumkan sesat ke atas saudara-saudara mereka yang bermazhab Syafie yang membaca doa qunut sewaktu solat subuh. Ini jauh berbeza dengan sikap dan tindakan golongan Wahabi yang menuduh orang-orang yang tidak sealiran dengan mereka sebagai ahli bidaah.

Oleh itu sewajarnya pihak berkuasa agama seperti Jakim menjelaskan kepada umat Islam tentang bahaya fahaman Wahhabi ini kerana ia sememangnya suatu fahaman yang boleh memusnahkan perpaduan umat Islam, sekali gus membahayakan negara Islam itu sendiri. - MUHIB AL-GHUMARY, Ulu Tiram, Johor.

Sumber: Utusan Online

JAWAPAN BALAS

Saudara Pengarang,
Merujuk surat yang ditulis oleh MUHIB AL-GHUMARY (MG) pada 1 Disenber 2005 dimana beliau menyatakan seorang penulis sebelumnya tidak memahami Wahhabi. Tetapi sebaliknya MG lah yang tidak memahami apakah itu Wahhabi seterusnya tidak memahami aqidah ahli sunnah wal jamaah yang sebenar. Satu kenyataan yang cukup bahaya dalam tulisan MG ialah Wahhabi bukan ahli sunnah, mengapa saya katakan demikian sekiranya golongan yang dilabelkan Wahhabi ini bukan ahli sunnah bermakna MG telah menuduh kerajaan Arab Saudi sebagai bukan ahli sunnah tetapi ianya kerajaan yang sesat. Rentetan dari dakwaan tersebut sekiranya Wahhabi adalah golongan yang sesat bagaimana Allah s.w.t. membiarkan Dua buah masjid suci umat Islam berada di bawah pentadbiran mereka? Bagaimana pula umat Islam serata dunia menunaikan Ibadat haji setiap tahun, kaun keluarga kita apabila balik haji akan membawa al-Quran yang dicetak di sana bersama buku-buku berkenaan aqidah dari sana, Sungguh tuduhan ini amat berat dan ini akan mengeruhkan suasana politik antara Malaysia dan Arab Saudi. Fikir dulu sebelum menulis. Seterusnya perbincangan mengenai aqidah khususnya berkenaan sifat Allah wajib berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Adalah Haram berkata sesuatu tentang Allah apa yang tidak diketahui. Allah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 28 yang bermaksud “Katakanlah sesungguhnya Allah tidak menyuruh melakukan perbuatan yang keji, Mengapa kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”. Saya ingin bertanya kepada MG adakah dia mengetahui asal-usul sifat 20? Adakah sifat 20 terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah? Adakah sifat Allah hanya terbatas kepada 20? Adakah tidak sah solat orang yang tidak menghafal sifat 20 sehingga menyusahkan orang yang baru masuk Islam? Adakah al-Imam Abu Hassan al-Asyari sendiri menetapkan 20 sifat? Adakah Aqidah Imam al-Syafie dan Imam-Imam mazhab yang empat beraqidah dengan sifat 20? Sekiranya benar saya cabar saudara MG untuk bawakan dalil dan pendapat-pendapat Imam yang empat serta sebutkan kitab-kitab yang muktabar tentangnya. Saya tidak pasti anda mengetahui atau tidak atau buat-buat tak tahu tentang sejarah Imam Abu Hassan Al-Asyari. Sekiranya anda boleh berbahasa Arab sila rujuk Tabaqat al-Syafieyah al-Kubra yang ditulis oleh Imam al-Subki tokoh ulama bermazhab syafie tentang Abu Hasan al-Asyari. Sila baca juga tulisan Imam Abu Hassan sendiri yang menyatakan beliau telah bertaubat dari aqidah yang menetapkan sifat-sifat Allah dalam kitab al-Ibanah An Usuli al-Diyanah dan kitabnya Maqalat al-Islamiyin.
Berhubung isu yang dibangkitkan oleh MG dimana Allah, Sila rujuk Hadis sahih Muslim tentang pertanyaan nabi kepada seorang hamba perempuan (Jariah) dimana nabi s.a.w. bertanya siapa aku? dia menjawab engkau Rasulullah, nabi bertanya lagi dimana Allah? Jariah menjawab Allah di langit. Kemudian nabi bersabda: “Bebaskan dia dia seorang beriman”. Al-Imam Abu Hassan al-Asyari menyatakan dalam Maqalat Islamiyin, aqidah yang menyatakan Allah berada dimana-mana merupakan aqidah muktazilah. Tetapi sekarang muncul pula puak yang mengatakan Allah wujud tidak bertempat sama seperti aqidah Jahmiyyah.
Sekali lagi saya mencabar saudara MG bawakan dalil atau pendapat sahabat nabi s.a.w dan juga pendapat Imam mazhab yang empat yang menyatakan Allah berada dimana-mana atau Allah wujud tidak bertempat.
Akhirnya saya berharap agar perkara sebegini dibincang secara ilmiah bukan hanya berdasarkan emosi dan sikap ta’sub semata-mata. Semoga Allah menunjukkan kepada kita yang benar itu benar supaya kita dapat mengikutinya, dan menunjukkan yang bathil itu bathil supaya kita dapat menjauhinya. Wallahu a’lam.

Abu Syu’aib
mka_2705@yahoo.com

No comments: