Wednesday, December 28, 2005
Program Desa Tercinta pertingkat jati diri
Perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan dikemudiankan atas alasan ‘masa masih panjang’ dan ‘bukan tanggungjawab aku’. Sedangkan mereka tidak menyedari bahawa mereka adalah suara masa depan yang menjadi tunggak negara.
Justeru atas kesedaran itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Sukan (STAD), Universiti Multimedia (MMU), Kampus Melaka menganjurkan satu program berbentuk khidmat siswa iaitu program Desa Tercinta.
Program akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob ini adalah usaha bagi merapatkan jurang antara pelajar dan penduduk kampung setempat.
MMU memilih Mentakab, Pahang sebagai lokasi ideal pada kali ini. Di antara pengisian dalam program ini adalah ‘Program Anak Angkat’ dan pelajar akan ditempatkan bersama keluarga angkat mereka untuk merasai sendiri bagaimana kehidupan sebenar di desa.
Program ini akan berlangsung selama tujuh hari bermula 23 Januari hingga 29 Januari depan. Presiden Universiti, Profesor Datuk Dr Ghauth Jasmon juga akan meluangkan masa bagi menjayakan program ini.
Sesungguhnya aktiviti sihat membawa signifikan besar kepada negara dan pembangunan nilai insan khususnya. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sering mengingatkan mengenai kepentingan nilai ‘Modal Insan’.
Inilah yang mahu dipupuk oleh pihak universiti agar belia tidak hanya berjaya dari segi akademik tetapi juga matang dari segi sahsiahnya.
KHAIROL KHALID,
Universiti Multimedia,
Kampus Melaka.
Berita Harian, Surat Pembaca-28/12/2005
Thursday, December 22, 2005
Pengenalan Tasawuf Islami
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah, akhirnya penulis ketemu sedikit ruang masa untuk kita bersama-sama menyingkap tabir ilmu Allah yang luas ini InsyaAllah. Seperti yang penulis katakan sebelum ini, penulis berhasrat untuk mengupas satu cabang ilmu yang cukup besar yakni ilmu tasawuf islami. Adalah mustahil bagi penulis untuk menyimpulkan semua ilmu tasawuf dengan penulisan yang ringkas ini, tetapi sekurang-kurangnya kita mendapat sedikit manfaat dan kefahaman mengenai ilmu tasawuf ini.
Penulis sendiri masih “daun muda” dalam memahami tasawuf ini. Justeru itu penulis menggunakan 2 buku sebagai panduan untuk penulis menulis tentang pengenalan bagi tasawuf ini. Tasawuf Moden, karangan Prof Dr HAMKA dan Tujuan Hidup Para Sufi, oleh Muhammad Al Ghazali.
Perkataan Tasawuf sendiri sebenarnya telah menjadi pertikaian di kalangan ahli-ahli bahasa. Sesetengah berkata ianya diambil dari perkataan syifa’, yang bermaksud suci atau bersih. Sesetengah lagi mengatakan ianya berasal dari perkataan “shuf” yakni bulu binatang dek kerana orang yang menjalankan tasawuf ini suka memakai baju dari bulu binatang disebabkan mereka benci dengan pakaian indah-indah “orang dunia” ini. Menurut pendapat yang lain pula, tasawuf berasal dari perkataan “suffah” iaitu sahabat Nabi yang menyisihkan diri di satu tempat terpencil disamping Masjid Nabi. Kemudian pada akhir zaman ini, berlaku pula pertikaian yang mengatakan bahawa sebenarnya ia berasal dari bahasa yunani lama dan telah diarabkan. Asalnya “theosofie” yang bererti “ilmu ketuhanan” kemudian diarabkan dengan lidah arab sehingga berubah menjadi “tasawuf”.
Hatta dari mana sekalipun asal perkataan “tasawuf” itu, bagi penulis ianya hanya berlegar dari segi bahasa. Tak ubah seperti ungkapan “Islam Hadhari” atau “Hadharatul Islamiyyah”. Apa yang penting, ternyata yang dimaksudkan dengan kaum tasawuf, atau kaum sufi itu ialah mereka yang
Di Tanah Melayu ini, apabila disebut kaum sufi ini, maka terbitlah dalam ingatan kita akan ajaran tarekat seperti tarekat Naqsyabandiyah, Syaziliyah, Samaniyah dan lain-lain lagi. Tasawuf adalah salah satu aliran falsafah dalam Islam. Tasawuf bukanlah agama melainkan suatu ikhtiar yang setengahnya diizinkan oleh agama, dan setengahnya secara tidak sengaja telah tergelincir daripada jalan Islam yang lurus.
Ibnu Khaldun berkata, “Tasawuf itu adalah semacam ilmu syariah yang timbul kemudian di dalam agama. Asalnya ialah bertekun di dalam beribadah dan memutuskan pertalian dengan segala selain Allah, hanya mengadap Allah semata. Berpaling dari godaan dunia serta membenci perkara yang memperdaya orang ramai, kelazatan harta benda dan kemegahan. Dan menyendiri menuju jalan Tuhan dalam khalwat dan ibadah.”
Syaikh Junaid Al-Baghdadi berkata, “Tasawuf adalah keluar dari sifat tercela dan masuk ke dalam sifat terpuji.”
Bermulanya gerakan tasawuf secara aktif ketika Islam berada di ambang kegemilangan. Pada ketika aliran Muktazilah telah meresap masuk di dalam dunia pemikiran Islam. Muncul pelbagai falsafah dan pemikiran-pemikiran baru. Maka ketika itu berkembanglah aliran tasawuf.
Kemajuan ketika itu telah membuatkan umat Islam diulit mimpi. Kekayaan berbondong-bondong, kehidupan megah, sehingga mahar Al-Ma’mum kepada Bauran anak wazirnya sehaja lebih sejuta dinar. Majlis-majlis ilmu yang telah bertukar menjadi tempat ulama-ulama mempertikaikan perkara furu’, sehingga menimbulkan sengketa dan perbalahan yang tiada berkesudahan.
Maka tentu saja timbul golongan yang amat jemu dengan perkara sebegini. Merekalah golongan sufi yang menjauhkan diri dari tipu daya dunia ini. Tetapi sayangnya, ada sesetengah golongan sufi ini yang pada asalnya bertujuan murni, tetapi akhirnya menempuh jalan sesat. Mereka mahu memerangi hawa nafsu dan syaitan, tetapi terkadang mereka menempuh jalan yang tidak digariskan oleh agama. Terkadang mereka mengharamkan sendiri barang yang dihalalkan oleh Tuhan. Bahkan ada yang tidak mahu lagi mencari rezeki, menyumpahi harta, membelakangkan urusan dunia, dan membenci kerajaan.
Sedangkan Allah telah mengingatkan kita di dalam Al Quran yang bermaksud, “Katakanlah Muhammad, siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang dikeluarkan-Nya untuk hamba-Nya. Dan siapakah yang menolak rezeki yang baik-baik?” (Al-A’raf: 32)
Tidak ada salahnya menjadi kaya tetapi di dalam masa yang sama memiliki tasawuf yang tinggi. Bukankah kemiskinan itu akan memberi impak yang lebih dasyat?
Sesungguhnya kemiskinan itu akan membawa kepada kekufuran (Hadith riwayat Abu Na’im dan Al-Baihaqi)
Sejarah membuktikan, bagaimana ketika tentera Monggol menceroboh masuk ke dalam negara Islam, tidak ada lagi senjata yang ampuh yang dapat menangkis, sebab kekuatan Islam telah luntur kerana perbuatan ummatnya sendiri.
Sebahagiannya menjadi budak harta, yang lebih sayangkan hartanya dari agamanya. Sebahagian menjadi budak fikah, bergaduh bertegang leher hanya kerana memperkatakan tentang apakah batal wudu’ jika darah melekat pada baju!!!
Dan ada pula yang karam dengan pakaian sufinya, tidak peduli apa-apa lagi kerana berasa ‘lazat’ di dalam kesunyian tasawuf itu. Tasawuf sedemikian bukanlah dari ajaran Islam. Zuhud yang melemahkan bukanlah dari ajaran Islam. Semangat Islam adalah Ruh Jihad. Semangat berkorban, bekerja, bukan bermalas-malas dan tidak berdaya.
Berlumba-lumbalah dalam mencari kebaikan dunia dan akhirat. Sayid Rasyid Ridha berkata, “Sehingga mencari pertikaian faham di antara ulama antara manakah lebih utama di sisi Allah, seorang kaya yang bersyukur, atau seorang fakir yang sabar.”
Jika kita berdasarkan pengertian tasawuf Syaikh Junaid Al-Baghdadi tadi, maka jelas kepada kita bahawa semua salafus soleh boleh dikategorikan juga sebagai “sufi”. Jika mereka memiliki kekayaan, tidaklah kekayaan itu melekat di hatinya, hatta jika harta itu tiada sekalipun, tiada terkesan di hatinya. Mereka tidak perlu bernama sufi, fikih, atau bernama Malik (raja) sekalipun, kerana tidak ada yang lebih mulia daripada gelaran sahabat Rasulullah.
Jangan sesekali menyalah tafsirkan tasawuf itu mengikut rentak nafsu kita sendiri. Lihatlah Syeikh Akbar Muhyiddin Ibnu Arabi yang dengan berani menulis
Juga Syeikh Izzuddin Ibnu Abdissalam, seorang ulama besar, ahli tasawuf yang agung, memfatwakan bahawa wajib menangkap raja Mamalik sebab mereka berlaku khianat kepada kaum muslimin dan rakyat mereka.
Dan juga Al Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali yang telah menulis
Nah lihatlah ketegasan dan semangat juang ulama tasawuf agung seperti yang telah penulis catatkan di atas. Ahli tasawuf bukanlah hanya mengasingkan diri demi bertaqarrub kepada Allah, tetapi harus juga berjuang apabila telah tiba keperluan jihad.
Ibnu Taimiyyah yang penulis anggap sebagai pembawa gerakan Salafiyyah juga telah memberi pandangan yang seimbang dan komprehensif mengenai aliran tasawuf ini. Ibnu Taimiyyah melihat tasawuf merangkumi unsur pemikiran, kerohanian dan akhlak. Sikap Ibnu Taimiyyah itu boleh penulis gambarkan sebagai sikap wasat (sederhana) dan adil dalam menimbal perkara tasawuf ini. Ibnu Taimiyyah juga telah membicarakan secara khusus mengenai tasawuf yang dinamakan sebagai “amalan hati”.
Terangkum bersamanya akhlak tasawuf seperti
- Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya
- Tawakkal
- Ikhlas
- Syukra
- Sabr
- Khauf (Takut kepada Allah)
- Raja’(Berharap kepada Allah)
Sebenarnya terdapat banyak lagi akhlak tasawuf Islam ini. Pada penulis ianya amat luas dan tidak terkapai dalam tulisan ringkas ini. Terdapat 49 sifat akhlak sufi yang dihuraikan dalam buku Muhammad Al Ghazali. Begitu juga dengan Professor HAMKA yang membicarakan sifat Qanaah dan Tawakkal secara mendalam.
Penulis merasakan penerangan di atas sudah cukup sebagai pengenalan kepada Tasawuf Islami ini. Walaubagaimanapun ianya hanyalah percambahan ilmu yang begitu banyak ruang pembaikan boleh dilakukan.
Sekian, buat kali ini..
Wassalamualaikum
Khairol Al-Keriani
Anjung Damai
Tuesday, December 20, 2005
Pengisian Ilmu
Assalamualaikum w.b.t
Segala puji bagi Allah kerana telah memberi ruang kepada penulis untuk berkongsi sedikit pengisian pada kali ini. Pada mulanya penulis berhasrat untuk menulis mengenai asas-asas tasawuf Islam. Tetapi oleh kerana dek kekangan waktu, menghalang penulis untuk menunaikan hasrat tersebut. Mungkin sedikit waktu lagi penulis akan dapat melaksanakan hasrat penulis itu, InsyaAllah. Walaubagaimanapun, pada kesempatan ini, penulis ingin menyampaikan sedikit mutiara ilmu yang penulis timba pada hari ini.
Semoga ianya bermanfaat kepada para netter semua. Penulis mempunyai dua pengisian. Pertama adalah kupasan pandangan Syaikh Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya yang bertajuk “FATAWA QARDHAWI”
Penulis ingin mengutarakan pandangan Syaikh Yusuf mengenai jemaah hari ini yang disebut sebagai jemaah Attakfir, jemaah Al-Hijrah, dan Fundamentalis Islam. Bagaimanakah Islam memandang perkara ini dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku.
Hal tersebut amat berbahaya dan telah menjadi perhatian besar bagi kaum muslimin khususnya kerana timbul pemikiran yang terlampau ekstrem. Dalam hal itu, Yusuf Qardhawi telah menyiapkan buku khusus mengenai masalah tersebut. Syaikh Yusuf telah mengemukakan mengapa perlunya kepada pengkajian atas sebab timbulnya fikiran yang ekstrem dan cara-cara menghadapinya.
PERTAMA, tiap-tiap fikiran atau pendapat harus dilawan dengan fikiran dan diubati dengan keterangan serta dalil-dalil yang kuat sehingga dapat menghilangkan keraguan dan pandangan yang keliru itu. Jika menggunakan kekerasan, sudah tentu tidak akan ada faedahnya.
KEDUA, mereka (orang yang berpandangan salah) umumnya adalah orang-orang yang baik, kuat agamanya dan tekun ibadahnya. Mereka menuntut kepada kebaikan walaupun jalan fikirannya menyimpang pada jalan yang salah dan sesat kerana mereka tidak mengerti.
Maka sebaiknya kita menghormati niat mereka yang baik itu. Jangan mereka digambarkan sebagai binatang buas atau penjahat bagi masyarakat. Tetapi hendaklah dengan pengarahan dan bimbingan ke jalan yang benar kerana tujuan mereka baik. Cuma mereka tersesat jalan.
Sebab-sebab timbul pemikiran sebegitu:-
PERTAMA, tersebarnya kebatilan, kemaksiatan dan kekufuran yang secara terang-terangan dan terbuka di tengah-tengah masyarakat Islam tanpa ada usaha pencegahannya.
KEDUA, sikap para ulama yang amat lunak terhadap mereka yang secara terang-terang menjalankan praktik orang kafir dan memusuhi orang Islam.
KETIGA, kurangnya pengetahuan mereka tentang agama dan tidak adanya pendalaman ilmu-ilmu dan hukum-hukum Islam secara keseluruhan. Oleh itu, mereka hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain dengan fahaman yang keliru dan menyesatkan.
KEIKHLASAN dan SEMANGAT sahaja TIDAK MENCUKUPI sebagai bekal jika tidak disertai dasar yang kuat dan pemahaman yang kuat dan pemahaman yang mendalam mengenai hukum Islam. Terutama mengenai hukum syariat dan ilmu fiqh. Maka mereka ini akan mengalami nasib yang sama seperti PARA KHAWARIJ di masa lampau, sebagaimana keterangan Al Imam Ahmad.
Oleh itu, orang-orang soleh selalu menganjurkan untuk menuntut ilmu dan memperkuat diri dengan pengetahuan Islam sebelum melakukan ibadat dan perjuangan agar teguh pendirian dan tidak kehilangan arah.
Al Hasan Al Basri berkata:
“Segala amalan tanpa dasar ilmu, seperti orang yang berjalan tetapi tidak pada tempatnya berpijak”
Tiap-tiap amalan tanpa ilmu akan menimbulkan kerosakan lebih banyak daripada kebaikannya. Tuntutlah ilmu sehingga tidak membawa mudharat kepada ibadah dan lakukanlah ibadat yang tidak membawa mudharat kepada ilmu.Maka ada segolongan kaum yang melakukan ibadat dan meninggalkan ilmu, sehingga mereka mengangkat pedangnya untuk melawan Umat Muhammad yang termasuk saudaranya sesama muslim. Jika mereka memiliki ilmu, tentu ilmu itu tidak akan membawa ke arah perbuatan itu!!!
Pengisian kedua penulis dipetik dari kitab Attajul jaami’ lil ushuul fii ahaadiit sir Rasul-1. Muka
Ianya berkaitan dengan Etika Ilmu di dalam Islam.
Sahabat Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Nabi saw telah bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang diberi fatwa tanpa ilmu, maka dosanya dibebankan kepada orang yang memberi fatwa. Dan barangsiapa yang mengisyaratkan sesuatu perkara kepada saudara (semuslim)nya, padahal ia mengetahui jalan yang benar bukan perkara itu, sesungguhnya ia telah berlaku khianat terhadapnya,” (Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Keterangan
Barangsiapa yang diberi suatu fatwa oleh orang lain yang tidak memiliki ilmu, lalu mengamalkannya dengan penuh ketakwaan persis seperti apa yang didengar. Dan ternyata fatwa itu terdapat dosa, maka dosa itu dibebankan kepada pemberi fatwa bukan kepada yang mengamalkan fatwa, ia dimaafkan kerana kejahilannya.
Mengisyaratkan maksudnya memberi nasihat yang salah kepada sahabatnya, sedangkan ia mengetahui bahawa nasihatnya itu adalah batil, maka ia telah berlaku khianat.
Pengertian khianat di sini kerana ia telah melanggar kepercayaan yang diberikan kepadanya. Dia memberi nasihat yang batil sedangkan agama itu adalah nasihat.
Termasuk di antara etika atau adab di dalam ilmu ialah HENDAKNYA SESEORANG ITU TIDAK MENGATAKAN SESUATU YANG TIDAK DIKUASAINYA ATAU TIDAK DIKETAHUINYA. DAN HENDAKNYA JANGAN MEMBERI FATWA TANPA ILMU.
Sekian, pengisian buat kali ini.
Wassalamualaikum
Khairol Al Keriani
Anjung Damai
Penenang Jiwa
Kenapa aku diuji?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan "kami telah beriman" sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Al-Ankabut: 2-3)
Kenapa aku tak dapat apa yg aku idam-idamkan?
"...boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah: 216)
Kenapa ujian seberat ini?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Al-Baqarah: 286)
Kecewa?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Ali-Imran: 139)
Bagaimana harus aku menghadapinya?
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
(Ali-Imran: 200)
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
(Al-Baqarah: 45)
Apa yang aku dapat daripada semua ini?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.."
(At-Taubah: 111)
Kepada siapa aku berharap?
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripadaNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
(At-Taubah: 129)
Macam mana aku nak bertahan?
"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
(Yusuf: 12)
Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang...
Friday, December 16, 2005
Antara Syariat dan Tasawuf
Nur Islam telah menyuluhi hidup al insan dan telah mengeluarkannya daripada kongkongan kegelapan kepada sinaran yang terang. Allah telah pun menyempurnakan Islam seperti dalam firmanNya yang bermaksud: “Pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan aku telah cukupkan kepadamu nikmatku, dan aku telah diredhai Islam ini menjadi agamamu”(Al-Maidah:3)
Rasulullah telah diutuskan bersama-sama dengannya satu “pakej” yang lengkap. Allah telah menyebutkan di dalam surah Al-Ahzab, ayat 21, bahawa Muhammad itu adalah uswatun hasanah yakni contoh ikutan yang terbaik. Perutusan syariatnya yang dibawa dan tasawuf di jiwanya membentuk satu ikatan yang tidak mungkin dapat dirungkaikan.
Malangnya senario hari ini menyaksikan, kedapatan ramai manusia yang berusaha berlumba-lumba dalam mendalami ilmu fikah, tetapi dalam masa yang sama telah melupakan tasawwuf islamiy dan begitulah juga yang sebaliknya. Perbuatan ini pada pandangan penulis, adalah ibarat membaling najis ke langit, akhirnya terpalit pada wajah sendiri. Impaknya amat dasyat sekali kerana ia telah menjerumus ke arah pemahaman yang tempang lagi serong kepada penuntut ilmu tersebut.
Ini mengingatkan penulis kepada kata-kata Imam Malik r.a seperti yang dicatat di dalam buku Ali al-Adawi dari keterangan Imam Abil Hasan,ulama fikh, vol 2, m/s: 195;
“Barangsiapa mempelajari tasawuf tanpa fikh maka dia telah zindik, dan barangsiapa mempelajari fikh tanpa tasawuf dia tersesat, dan siapa yang mempelari tasawuf dan fikh dia meraih kebenaran”
Malah lebih berbahaya lagi jika dia menyebarkan risalah mengenai kefahamannya itu kepada masyarakat. Tambahan pula jika orang mendengar risalah itu tidak mempunyai asas yang kukuh, maka akan mudahlah ia terjerumus bersama-sama ke dalam serombong kesesatan.
Penulis ingin membawakan suatu riwayat kisah hidup seorang tokoh yang penulis rasakan beliau adalah contoh yang ideal untuk memahamkan kita bahawa adalah amat penting untuk mendalami segenap aspek ilmu di dalam Islam sebelum terjun kepada sesuatu konklusi atau keputusan.
Tokoh yang penulis maksudkan adalah Al Imam Hujjatul Islam, Al Ghazali. Beliau adalah seorang ahli teologi, ahli falsafah, dan di antara ahli sufi yang muktabar di dalam Islam. Lahir pada 450H/1058 M di
Pada tahun 1091, beliau pernah menjadi Guru Besar Hukum kepada Nizam Al-Mulk (1018-1092), kemudian Perdana Menteri Sultan Maliksyah, dan kerajaan Saljuk di Madrasah Nizamiyah, Baghdad. Beliau mengajar di
2 karyanya itu telah membawa satu gelombang besar dalam dunia aliran falsafah dan ilmu kalam. Penulis amat kagum kerana Al Ghazali telah memberi tamparan yang hebat kepada ilmu logik akal yang
Al Ghazali terus bersinar apabila berjaya menghasilkan Ihya’ Ulum Al-Din (Menghidupkan kembali ilmu Agama). Tidak salah jika penulis katakan bahawa Al Ghazali adalah sangat berpengaruh sehingga beliau disebut sebagai tokoh yang amat penting selepas zaman Rasulullah jika dilihat dari segi pengaruh dan peranannya dalam menata dan mengukuhkan nilai keagamaan.
Pada tahun 1095, Al Ghazali meninggalkan
Setelah itu, beliau kembali ke Nisabur pada tahun 1106 untuk mengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah. Tidak berapa lama, beliau pergi ke Tus, mendirikan HALAQAH (Sekolah Calon Sufi). Beliau mengasuh Halaqah sehingga ke penghujung usianya.
Perjalanan Intelektual dan Spiritual dalam menemukan kedamaian batin dan mengikut jalan sufi dicurahkan dalam autobiografinya yang bertajuk al-munqiz min al-dhalal (pembebas daripada kesesatan).
Al Ghazali telah mengkritik ahli falsafah dan akhirnya beliau memilih jalan tasawuf sebagai jalan menuju Allah. Dalam bukunya tahafut al-falasifah beliau sendiri telah menyanggah pandangan ahli falsafah yang membawa kepada kekufuran yakni hujah alam ini qadim, tuhan tidak mengetahui bahagian sekecil-kecil alam ini, dan ketiadaan kebangkitan jasmani pada hari Qiamat. Al Ghazali tega bangun ditengah-tengah gelanggang falsafah, dan merobek seluruh pemahaman yang songsang dan bercelaru itu.
Al Ghazali menemui kepuasan dan menemukan diri di dalam dunia tasawuf. Ternyata krisis hidupnya bukan bererti ragu, tetapi beralih arah dari dunia ke dalam batin.
Al Ghazali berkata, “Pada akhirnya saya sampai kepada kebenaran, bukan menerusi jalan akal budi serta pengumpulan bukti, melainkan menerusi cahaya yang dipancarkan oleh Allah ke dalam jiwaku.”
Berbahagialah Al Ghazali kerana telah berjaya mendamaikan antara syariat dan tasawuf. Jasanya itu amatlah besar di dalam ketamadunan Islam kerana beliau telah menzahirkan ilmu tasawuf pada jiwa umat Islam. Imam Al Ghazali juga telah berjasa dalam menyebarkan aliran As-Syairiyah yang dianut oleh majoriti Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ).
Lihatlah wahai sahabatku, sesungguhnya usaha dalam pencarian ilmu ini amatlah jauh sekali. Janganlah sesekali kita menyangka bahawa pencarian ilmu itu sudah tamat. Sesekali tidak!! Pemahaman Islam itu memerlukan pengorbanan yang amat besar. Tidak malukah kita mendabik dada kononnya sudah menguasai sesuatu ilmu sedangkan al Ghazali sendiri pun, walau telah menghasilkan lebih daripada 280 buku, tetapi tidak pernah berasa cukup dalam penerokaannya mendalami ilmu Al Khaliq ini.
Penulis menyeru para netter semua dan diri penulis sendiri, agar jangan pernah berasa diri ini cukup, atau dengan bahasa mudahnya “berlagak pandai”. Kata orang tua-tua, jika kail panjang sejengkal, jangan diduga lautan dalam. Pada kesempatan ini, penulis juga ingin menyertakan pandangan tokoh-tokoh yang dilihat kontroversi mengenai pendirian mereka tentang ilmu tasawuf ini.
Dalam volum 5 dari Muhammad ibn 'Abdul Wahhab yang bertajuk ar-Rasa'il ash-Shakhsiyyah, hal 11, serta hal. 12, 61, dan 64, dia menyatakan: "Saya tidak pernah menuduh kafir Ibn 'Arabi atau Ibn al-Fari kerana interpretasi sufinya"
Lanjutan dari Ibn Qayyim Al Jauziyyah :"Diantara orang terbaik adalah Sufi yang mempelajari fiqh.
Shaikh Rashid Ridha juga berkata, "tasawuf adalah salah satu dari tiang agama. Tujuannya adalah untuk membersihkan diri dan mempertanggungjawabkan perilaku sehari-hari dan untuk meninggikan manusia menuju maqam spiritual yang tinggi"(Majallat al-Manar, p. 726)
Hayatilah perjalanan hidup, onak dan duri kisah suka duka perjuangan Al Imam Hujjatul Islam Al Ghazali. Semoga kita semua mendapat iktibar dan mencontohi adabnya dalam menuntun jalan ke arah pemurnian beragama. Memahami Al Quran dan Hadith tidak cukup jika berdasarkan literal semata-mata. Unsur-unsur balaghah, majaz, asbabun nuzul, nasakh dan mansukh dan pelbagai lagi aspek perlu diberi perhatian. Memang benar kita mahu mengikut Al Quran dan As Sunnah. Tetapi bagaimanakah kita mahu mencari petunjuk untuk meneroka ke arah jalannya? Sudah tentu dengan adab-adab ilmu. Ibarat mahu menaiki tangga. Dari anak tangga pertama, tidak boleh melompat terus ke anak tangga ke sepuluh. Semestinya akan tersungkur ke bawah. Seharusnya mesti mengikut langkah demi langkah. Tapak demi tapak. Itulah langkah perjalanan bagi mereka yang bersabar
Marilah kita menuju ke arah kejayaan seperti mana yang telah dikecapi oleh ulama salaf dan khalaf. Coretan sejarah perlu dilebarkan demi mendepani masa mendatang. Agar Islam terus bersinar dan gemilang di bawah Nur kalimah yang Hak.
Demikian daripada penulis, Wassalam.
Khairol Al-Keriani
12.49 a.m
Anjung Damai
16 Disember 2005
Tuesday, December 13, 2005
Lelaki 9 Akal, Perempuan 1 Akal, Binatang 0 Akal!! Adakah ia menghina wanita??
Assalamualaikumwarahmatullah
Sudah agak lama rasanya jari ini tidak melenggokkan rentak tulisannya. Mungkin dek kerana ketagihan membuatkan penulis ingin menulis setelah membaca satu hasil penulisan daripada seorang sahabat. Tajuknya mungkin agak remeh.. namun penulis mengkagumi sikapnya yg begitu anthustias dalam mengkaji sesuatu isu. Dari segi itu, penulis boleh memberikan rating 5 bintang kepadanya. Cuma mungkin ada sedikit ruang di mana teguran dapat dibuat untuk pengislahan minda bersama.
“Lelaki 9 Akal, Perempuan 1 Akal, Binatang 0 Akal” Begitulah kira-kira tajuk yang diperbincangkan olehnya. Sahabat ini telah menghuraikan tentang bait perumpamaan ini yang padanya bertentangan dengan Al Quran dan As Sunnah. Penulis menyeru kepada para netter, marilah kita perincikannya untuk melihat kebenaran yg tersingkap disebaliknya.
Acapkali kita dengari bait kalimah yang menyatakan bahawa lelaki mempunyai 9 akal dan 1 nafsu. Manakala perempuan pula mempunyai 1 akal dan 9 nafsu. Saya kira sudah lama ungkapan ini berlegar-legar dalam pendengaran masyarakat kita.
Sahabat ini dengan tegas menafikan bahawa ungkapan itu berasal dari sumber Al Quran dan As Sunnah. Adakah ini benar? Jawapan penulis, YA MEMANG BENAR. Jadi daripada mana ya datangnya ungkapan ini? Adakah daripada yahudi, nasrani, atau pihak kuffar? Jawapan penulis, TIDAK sahabatku…
Penulis menjunjung sikap berhati-hati dan teliti yang dilakukan dalam penulisan sahabat kita itu.. Sudah seharusnya kita mengikut Al Quran dan As Sunnah. Tetapi bagaimana pula dengan kata-kata para ulama’? ataupon abid yang taat? Ataupon seorang ahli tasawwuf yang telah berjaya menyingkirkan dunia dari dirinya? Adakah kita harus mengikut dan mendengar kalimah ucapan dari mereka? Jawapan penulis…YA!! Kita harus menghormati keilmuan mereka dan mencontohi kerendahan hati mereka dalam mencari maghrifah serta keredhaan Allah semata-mata..
Penulis suka untuk mengkhabarkan dari manakah datangnya asal usul ungkapan kalimah Lelaki mempunyai 9 akal dan 1 nafsu ; Wanita mempunyai 9 nafsu dan 1 akal. Asal usul ungkapan ini ada tercatat dalam sumber sejarah wahai sahabatku. Ianya bukanlah seperti cerita Sang Kedembai atau cerita dongeng lain yang berbentuk mitos kosong sahaja.
Ingin penulis nyatakan bahawa ungkapan ini adalah hasil daripada interaksi antara insan mulia yang bernama Rabiah Al Adawiyah dengan tokoh sufi yang terkenal iaitu Imam Hasan Al Basri.
Suatu hari Hasan Al-Basri bersama dua orang sahabatnya bertandang ke rumah Rabi’ah Adawiyyah dengan tujuan meminangnya untuk salah seorang daripada mereka. Rabi’ahAdawiyah menyambut hasrat mereka itu dengan baik, tetapi dengan syarat mereka mestilah dapat menjawab soalan yang dikemukakan olehnya. Rabi’ah bertanya: “Berapa banyakkah nafsu lelaki dan berapa pula nafsu perempuan?” Lantas Hasan Basri menjawab: “Nafsu lelaki hanya satu, manakala nafsu perempuan sebanyak sembilan nafsu.” Lalu Rabi’ah pun menyambut jawapan itu dengan katanya: “Jika benar demikian, kenapa kamu yang bernafsu satu tidak mampu menahannya sedangkan aku yang mempunyai sembilan nafsu sanggup berbuat demikian?” Mendengar jawapan paku buah keras itu, Hasan Basri pun berlalu pergi bersama sahabatnya sambil menangis sehingga membasahi janggut mereka.
Daripada gaya perjalanan cerita ini, jelas kepada kita bahawa bukanlah ungkapan lelaki mempunyai 9 akal dan 1 nafsu ; Wanita mempunyai 9 nafsu dan 1 akal bermaksud untuk merendahkan kaum hawa. Jauh sekali untuk menghina mereka. Bahkan cerita ini meningkatkan lagi martabat kaum hawa dan maruah diri mereka.
Sebelum itu, penulis ingin bertanya netter semua, kenalkah kamu semua akan Rabiah Al Adawiyyah dan Imam Hassan Al Basri?
Sedikit coretan mengenai riwayat hidup Rabiah Al Adawiyyah.
“Rabiah adalah seorang ahli sufi yang terkenal. Dilahirkan berhampiran kota Basra di Iraq. Berasal dari keluarga yang miskin namun kaya dalam aspek kerohanian. Bapanya hanyalah bekerja mengangkut penumpang menyeberangi sungai Dijlah. Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara serta zuhud hampir lenyap sama sekali. Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al Basri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafsu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat. Bapa Rabiah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabiah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabiah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.”
Bagaimana pula dengan Hassan Al Basri?
Nama penuh al-Hassan al-Basri adalah al-Hassan b. Abil-Hassan al-Yassar. Ayahnya merupakan orang tahanan dan dibawa ke Madinah. Disitu, bapanya berkahwin dengan ibunya al-Khayrah. al-Hassan al-Basri dilahirkan di Madinah pada masa pentadbiran Khalifah Umar b. al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Pernah menyusu pada Ummu Salmah isteri Rasulullah S.A.W. ketika ibunya keluar melaksanakan suruhan beliau. al-Hassan al-Basri pernah berguru kepada beberapa orang sahabat Rasul S.A.W. sehingga beliau muncul sebagai ulamak terkemuka dalam peradapan Islam. al-Hassan al-Basri meninggal di Basrah, Iraq, pada 110 Hijrah (728 Masihi). Beliau pernah hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik b. Marwan. Imam Hassan al-Basri merupakan contoh ikutan dalam merubah kemungkaran dengan hikmah dan nasihat yang baik. Beliau lebih mengutamakan kaedah merubah kemungkaran dengan kerugian yang paling minima, kerana menolak kemudaratan lebih diutamakan berbanding dengan memperolehi maslahat.”
Iman Hasan Al Basri adalah guru kepada Rabiatul Adawiyyah. Kisah mereka begitu banyak ditulis oleh golongan-golongan sufi dan thiqah mereka diyakini bersih oleh jumhur fuqaha’.
Penulis bukanlah mahu menyebelahi golongan sufi tetapi kita perlulah bersifat adil dalam membuat satu penilaian.
Untuk mempertikaikan lelaki mempunyai 9 akal dan 1 akal ataupun perempuan mempunyai 1 akal dan 9 nafsu, pada hemat penulis, tidak perlu diperbesarkan.
Umum mengetahui bagaimana thiqah Rabiatul Adawayyah dan Imam Hasan Al-Basri.
Kita sepatutnya menerima bahawa tiada manusia yang ma’sum seperti baginda Rasulullah. Justeru kita harus menerima dengan berlapang dada dalam perkara-perkara yang tidak dipersetujui.
Perlu juga diperhatikan bahawa gaya percakapan Rabiah Al-Adawiyyah dan Imam Hassan Al Basri adalah rentak lenggok sufi yang kadangkala sukar difahami oleh masyarakat umum. Jadi tidak perlu kita mempertikaikannya dengan segala fakta dan menuduh dengan keras bahawa percakapan antara Imam Hasan Al Basri dan Rabiah Al Adawiyyah sebagai menjatuhkan maruah wanita.
Kita berasa bimbang jika kalau-kalau secara tidak sengaja kita telah menghina 2 tokoh yang telah diakui oleh ulama akan kewarakan mereka. Jadi nasihat penulis kepada sahabat-sahabat lain, berhati-hatilah dengan penulisan anda.
Jangan sesekali menghukum secara kejam dan terjun kepada konklusi yang amat keras seolah-olah kata-kata Rabiah dan Iman Hasan Al-Basri itu adalah bersifat double-standard. Kita tidak layak untuk menghukum begitu..walhal ramai dikalangan kita yang tidak menguasai bahasa arab sekalipun. Sedangkan kita tahu bahawa bahasa Arab ini penuh dengan balaghahnya. Tambahan pula gaya bahasa Rabiah dan Imam Hasan Al Basri tinggi kerana golongan sufi ini amat suka bersyair dan berpuisi.
Penulis menasihatkan sahabat agar memilih aliran sederhana. Mendalami ilmu ulum Quran dan Mustalah hadith memerlukan kesabaran dan caranya perlulah betul. Jangan kita begitu ghairah mengkaji hadith sehingga kita lupa salah satu lagi cabang ilmu yang penting iaitu ilmu tasawwuf.
Menolak dan menghukum secara semborono bukanlah perkara yang diajarkan di dalam Islam. Mengkaji Ulum Quran, Mustalah Hadith, Tasawwuf, Fiqh, Perbandingan Agama dan berbagai lagi cabang ilmu dalam Islam haruslah mengikut disiplin ilmunya. Dikhuatiri jika kita hanya mempelajari secara literal sahaja, akan menimbulkan sifat riya’ di dalam jiwa. Mohon dijauhkan daripada kita semua.
Pendirian penulis di dalam isu ini mudah sahaja. Kisah-kisah ataupun ungkapan seperti ini tidaklah perlu diterima seratus peratus kerana ianya bukanlah ayat daripada Al Quran dan hadith baginda Rasulullah. Namun begitu, ungkapan atau kisah-kisah seperti ini tidak boleh dinafikan seratus peratus juga. Dibimbangi jika ungkapan atau kisah itu benar, maka secara tidak langsung kita telah berlaku dosa dengan menafikan dan menghukum ulama sebelum kita.
Marilah kita memilih aliran sederhana, yakni aliran yang tidak bias atau taksub kepada sesuatu ulama’. Sekali lagi penulis menyeru agar para netter sekalian memilih sikap berlapang dada (tasaamuh) dalam membincangkan sesuatu isu. Semoga kalian dipayungi dengan rahmah Allah Taala.
Wassalam.
Khairol Al-Keriani
Anjung Damai
13 Disember 2005
2.10 pm
Wednesday, December 07, 2005
Kalimatun sawa'
Isu perbedaan madzhab menjadi topik perdebatan hangat mutahir ini. Permasalahan gerakan “wahhabi” telah mengheret saya untuk melontarkan fikrah selaku seorang pelajar yang melihat dan mendengar. Minggu lepas akhbar Mingguan
Saya tidak mahu membangkitkan tentang isu tahlilan, berzikir, dan lain-lain perkara furu’ kerana ianya hanyalah berlegar dalam perkara khilaf. Cuma apa yang ingin saya bangkitkan adalah sikap ataupun akhlak orang-orang yang mengaku sebagai salafi dan mengikut jalan salafus soleh.
Sebagai mana yang kita tahu, orang melayu di benua ini sangat kaya dengan adat resam dan pantang larang. Setelah Nur Islam terpancar di nusantara ini, maka sedikit demi sedikit amalan yang berbentuk syirik dan khurafat terhakis dengan peredaran zaman. Secara peribadi saya berasa gembira jika ramai di kalangan sahabat-sahabat pelajar kita yang begitu serius dan konsisten dalam mengkaji amalan-amalan masyarakat melayu ini sama ada di sandarkan kepada hadith yang benar-benar rajih dan sahih.
Cuma saya ingin menegur sikap sahabat kita yang dengan lancang memarahi orang lain yang melakukan tahlilan dan sebagainya. Atau tidak pun secara sinis menegur orang lain seolah-olah dia adalah lebih arif atau lebih tahu dalam urusan beragama. Inilah yang dikatakan sebagai sikap “beruk baru mendapat bunga.”
Tidakkah kita mempelajari daripada sejarah bagaimana Islam tersebar di nusantara ini. Bagaimana wali-wali songo menjalankan usaha dakwah mereka? Tidakkah kita mempelajari metode psikologi dalam berdakwah. Berkeras dalam perkara perbedaan hanya merugikan kedua-dua belah pihak. Di manakah akhlak dalam jiwa seorang yang bergelar daie’? Bukankah Rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Saya rasa mungkin perkara ini yang merisaukan Dr Uthman El Muhammady.
Cuma pandangan beliau berkenaan dengan “wahhabi” yang meruntuhkan khilafah uthmaniah perlu dikaji secara fakta yang adil supaya tidak wujud kekeliruan di kalangan orang awam. Selain daripada mendalami ilmu hadith dan fekah, ilmu tasawwuf tidak wajar dilupakan. Bukankah tasawwuf juga adalah salah satu daripada juzu’ sifat-sifat Rasulullah. Cuma apa yang perlu diingat, dalam memahami ilmu-ilmu tasawwuf, biarlah diterokai dengan ilmu dan janganlah main ikut semborono sahaja kerana ia mungkin akan menjerumuskan diri pengamalnya ke lembah kesesatan. Secara tidak langsung ianya bercanggah daripada konsep ilmu tasawwuf sebenar yang dikenali sebagai cara untuk menyucikan jiwa (tadzkiyyatun nafs)
Saya juga ingin mengingatkan sahabat-sahabat saya agar tidak lancang menghina ulama-ulama sama ada ulama itu salaf mahupun khalaf. Menyerang peribadi seseorang muslim bukanlah perkara yang diajar di dalam syariat Islam. Dunia hari ini dipenuhi dengan fitnah dan janganlah kita menjadi salah seorang daripada manusia yang menyebarkan fitnah itu. Janganlah kerana kita fanatik kepada sesuatu ulama, sehingga kita sanggup menghina dan menolak ulama lain yang tidak sealiran dengan kita.
Cukuplah setakat ini jika kita hanya mahu bertelagah dalam perkara yang berkaitan masalah furu’ semata. Tidakkah kita mahu melihat Islam berkembang mekar daripada dijajah pemikiran yang tidak kunjung putus. Jika kita mahu membincangkan isu “wahhabi” ini dengan lebih mendalam saya kira isu ta’wilan dan tawassul wajar dibincangkan secara serius dan telus kerana itu berkaitan dengan akidah umat Islam. Cukuplah kita bergaduh hanya kerana qunut. Nampaknya begitu keanak-anakan. Belajarlah cara untuk bertoleransi dan mencari titik persamaan. Itu adalah lebih aula bagi sikap sebagai seorang dai’e.
Khairol Khalid