Tuesday, December 13, 2005

Lelaki 9 Akal, Perempuan 1 Akal, Binatang 0 Akal!! Adakah ia menghina wanita??

Assalamualaikumwarahmatullah

Sudah agak lama rasanya jari ini tidak melenggokkan rentak tulisannya. Mungkin dek kerana ketagihan membuatkan penulis ingin menulis setelah membaca satu hasil penulisan daripada seorang sahabat. Tajuknya mungkin agak remeh.. namun penulis mengkagumi sikapnya yg begitu anthustias dalam mengkaji sesuatu isu. Dari segi itu, penulis boleh memberikan rating 5 bintang kepadanya. Cuma mungkin ada sedikit ruang di mana teguran dapat dibuat untuk pengislahan minda bersama.

“Lelaki 9 Akal, Perempuan 1 Akal, Binatang 0 Akal” Begitulah kira-kira tajuk yang diperbincangkan olehnya. Sahabat ini telah menghuraikan tentang bait perumpamaan ini yang padanya bertentangan dengan Al Quran dan As Sunnah. Penulis menyeru kepada para netter, marilah kita perincikannya untuk melihat kebenaran yg tersingkap disebaliknya.

Acapkali kita dengari bait kalimah yang menyatakan bahawa lelaki mempunyai 9 akal dan 1 nafsu. Manakala perempuan pula mempunyai 1 akal dan 9 nafsu. Saya kira sudah lama ungkapan ini berlegar-legar dalam pendengaran masyarakat kita. Ada yang setakat mendengar dan melupakan sahaja. Ada yang mendengar dan menyampaikan. Tidak kurang juga ada yang mendengar dan menafikan. Pelbagai respon dan persepsi didengari..Persoalannya sejauh manakah kebenaran ungkapan tersebut?

Sahabat ini dengan tegas menafikan bahawa ungkapan itu berasal dari sumber Al Quran dan As Sunnah. Adakah ini benar? Jawapan penulis, YA MEMANG BENAR. Jadi daripada mana ya datangnya ungkapan ini? Adakah daripada yahudi, nasrani, atau pihak kuffar? Jawapan penulis, TIDAK sahabatku…

Penulis menjunjung sikap berhati-hati dan teliti yang dilakukan dalam penulisan sahabat kita itu.. Sudah seharusnya kita mengikut Al Quran dan As Sunnah. Tetapi bagaimana pula dengan kata-kata para ulama’? ataupon abid yang taat? Ataupon seorang ahli tasawwuf yang telah berjaya menyingkirkan dunia dari dirinya? Adakah kita harus mengikut dan mendengar kalimah ucapan dari mereka? Jawapan penulis…YA!! Kita harus menghormati keilmuan mereka dan mencontohi kerendahan hati mereka dalam mencari maghrifah serta keredhaan Allah semata-mata..

Penulis suka untuk mengkhabarkan dari manakah datangnya asal usul ungkapan kalimah Lelaki mempunyai 9 akal dan 1 nafsu ; Wanita mempunyai 9 nafsu dan 1 akal. Asal usul ungkapan ini ada tercatat dalam sumber sejarah wahai sahabatku. Ianya bukanlah seperti cerita Sang Kedembai atau cerita dongeng lain yang berbentuk mitos kosong sahaja.

Ingin penulis nyatakan bahawa ungkapan ini adalah hasil daripada interaksi antara insan mulia yang bernama Rabiah Al Adawiyah dengan tokoh sufi yang terkenal iaitu Imam Hasan Al Basri.

Suatu hari Hasan Al-Basri bersama dua orang sahabatnya bertandang ke rumah Rabi’ah Adawiyyah dengan tujuan meminangnya untuk salah seorang daripada mereka. Rabi’ahAdawiyah menyambut hasrat mereka itu dengan baik, tetapi dengan syarat mereka mestilah dapat menjawab soalan yang dikemukakan olehnya. Rabi’ah bertanya: “Berapa banyakkah nafsu lelaki dan berapa pula nafsu perempuan?” Lantas Hasan Basri menjawab: “Nafsu lelaki hanya satu, manakala nafsu perempuan sebanyak sembilan nafsu.” Lalu Rabi’ah pun menyambut jawapan itu dengan katanya: “Jika benar demikian, kenapa kamu yang bernafsu satu tidak mampu menahannya sedangkan aku yang mempunyai sembilan nafsu sanggup berbuat demikian?” Mendengar jawapan paku buah keras itu, Hasan Basri pun berlalu pergi bersama sahabatnya sambil menangis sehingga membasahi janggut mereka.

Daripada gaya perjalanan cerita ini, jelas kepada kita bahawa bukanlah ungkapan lelaki mempunyai 9 akal dan 1 nafsu ; Wanita mempunyai 9 nafsu dan 1 akal bermaksud untuk merendahkan kaum hawa. Jauh sekali untuk menghina mereka. Bahkan cerita ini meningkatkan lagi martabat kaum hawa dan maruah diri mereka.

Sebelum itu, penulis ingin bertanya netter semua, kenalkah kamu semua akan Rabiah Al Adawiyyah dan Imam Hassan Al Basri?

Sedikit coretan mengenai riwayat hidup Rabiah Al Adawiyyah.

“Rabiah adalah seorang ahli sufi yang terkenal. Dilahirkan berhampiran kota Basra di Iraq. Berasal dari keluarga yang miskin namun kaya dalam aspek kerohanian. Bapanya hanyalah bekerja mengangkut penumpang menyeberangi sungai Dijlah. Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara serta zuhud hampir lenyap sama sekali. Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al Basri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafsu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat. Bapa Rabiah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabiah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabiah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.”

Bagaimana pula dengan Hassan Al Basri?

Nama penuh al-Hassan al-Basri adalah al-Hassan b. Abil-Hassan al-Yassar. Ayahnya merupakan orang tahanan dan dibawa ke Madinah. Disitu, bapanya berkahwin dengan ibunya al-Khayrah. al-Hassan al-Basri dilahirkan di Madinah pada masa pentadbiran Khalifah Umar b. al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Pernah menyusu pada Ummu Salmah isteri Rasulullah S.A.W. ketika ibunya keluar melaksanakan suruhan beliau. al-Hassan al-Basri pernah berguru kepada beberapa orang sahabat Rasul S.A.W. sehingga beliau muncul sebagai ulamak terkemuka dalam peradapan Islam. al-Hassan al-Basri meninggal di Basrah, Iraq, pada 110 Hijrah (728 Masihi). Beliau pernah hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik b. Marwan. Imam Hassan al-Basri merupakan contoh ikutan dalam merubah kemungkaran dengan hikmah dan nasihat yang baik. Beliau lebih mengutamakan kaedah merubah kemungkaran dengan kerugian yang paling minima, kerana menolak kemudaratan lebih diutamakan berbanding dengan memperolehi maslahat.”

Iman Hasan Al Basri adalah guru kepada Rabiatul Adawiyyah. Kisah mereka begitu banyak ditulis oleh golongan-golongan sufi dan thiqah mereka diyakini bersih oleh jumhur fuqaha’.

Penulis bukanlah mahu menyebelahi golongan sufi tetapi kita perlulah bersifat adil dalam membuat satu penilaian.

Untuk mempertikaikan lelaki mempunyai 9 akal dan 1 akal ataupun perempuan mempunyai 1 akal dan 9 nafsu, pada hemat penulis, tidak perlu diperbesarkan.

Umum mengetahui bagaimana thiqah Rabiatul Adawayyah dan Imam Hasan Al-Basri.

Kita sepatutnya menerima bahawa tiada manusia yang ma’sum seperti baginda Rasulullah. Justeru kita harus menerima dengan berlapang dada dalam perkara-perkara yang tidak dipersetujui.

Perlu juga diperhatikan bahawa gaya percakapan Rabiah Al-Adawiyyah dan Imam Hassan Al Basri adalah rentak lenggok sufi yang kadangkala sukar difahami oleh masyarakat umum. Jadi tidak perlu kita mempertikaikannya dengan segala fakta dan menuduh dengan keras bahawa percakapan antara Imam Hasan Al Basri dan Rabiah Al Adawiyyah sebagai menjatuhkan maruah wanita.

Kita berasa bimbang jika kalau-kalau secara tidak sengaja kita telah menghina 2 tokoh yang telah diakui oleh ulama akan kewarakan mereka. Jadi nasihat penulis kepada sahabat-sahabat lain, berhati-hatilah dengan penulisan anda.

Jangan sesekali menghukum secara kejam dan terjun kepada konklusi yang amat keras seolah-olah kata-kata Rabiah dan Iman Hasan Al-Basri itu adalah bersifat double-standard. Kita tidak layak untuk menghukum begitu..walhal ramai dikalangan kita yang tidak menguasai bahasa arab sekalipun. Sedangkan kita tahu bahawa bahasa Arab ini penuh dengan balaghahnya. Tambahan pula gaya bahasa Rabiah dan Imam Hasan Al Basri tinggi kerana golongan sufi ini amat suka bersyair dan berpuisi.

Penulis menasihatkan sahabat agar memilih aliran sederhana. Mendalami ilmu ulum Quran dan Mustalah hadith memerlukan kesabaran dan caranya perlulah betul. Jangan kita begitu ghairah mengkaji hadith sehingga kita lupa salah satu lagi cabang ilmu yang penting iaitu ilmu tasawwuf.

Menolak dan menghukum secara semborono bukanlah perkara yang diajarkan di dalam Islam. Mengkaji Ulum Quran, Mustalah Hadith, Tasawwuf, Fiqh, Perbandingan Agama dan berbagai lagi cabang ilmu dalam Islam haruslah mengikut disiplin ilmunya. Dikhuatiri jika kita hanya mempelajari secara literal sahaja, akan menimbulkan sifat riya’ di dalam jiwa. Mohon dijauhkan daripada kita semua.

Pendirian penulis di dalam isu ini mudah sahaja. Kisah-kisah ataupun ungkapan seperti ini tidaklah perlu diterima seratus peratus kerana ianya bukanlah ayat daripada Al Quran dan hadith baginda Rasulullah. Namun begitu, ungkapan atau kisah-kisah seperti ini tidak boleh dinafikan seratus peratus juga. Dibimbangi jika ungkapan atau kisah itu benar, maka secara tidak langsung kita telah berlaku dosa dengan menafikan dan menghukum ulama sebelum kita.

Marilah kita memilih aliran sederhana, yakni aliran yang tidak bias atau taksub kepada sesuatu ulama’. Sekali lagi penulis menyeru agar para netter sekalian memilih sikap berlapang dada (tasaamuh) dalam membincangkan sesuatu isu. Semoga kalian dipayungi dengan rahmah Allah Taala.

Wassalam.

Khairol Al-Keriani
Anjung Damai
13 Disember 2005
2.10 pm

4 comments:

somehow said...

alhamdulillah, dapat jawapan berkenaan 9 dan 1 nafsu. Tapi bleh tak tolong carikkan tentang 9 dan 1 akal? sebab kat cerita tu tak berkisar tentang akal, tapi hanya nafsu, thanx-huzaifah

Intan Terpilih said...

A'kum, saya mempunyai pendapat yang berbeza, saya rasa apa yg saudara tulis itu tidak menjawab persoalan yang sebenar iaitu dari manakah datangnya ungkapan "lelaki mempunyai 9 akal dan 1 nafsu, wanita pulak 9 nafsu dan 1 akal"

Tak batul..?

Ok. dalam kisah berkenaan, Rabiah Al Adawiyah telah bertanya soalan tentang nafsu lelaki dan nafsu perempuan, dan lantas dijawab dgn yakin oleh Hasan Basri dan jawapan itu diterima sebagai TEPAT oleh Rabiah Al Adawiyah, bermakna kedua-dua mereka dan juga orang lain yang bersama pada ketika itu, malah mungkin semua orang Islam pada zaman itu sudah pun sedia mempunyai pengetahuan bahawa lelaki mempunyai 9 akal 1 nafsu dan wanita 9 nafsu 1 akal, pertanyaan Rabiah Al Adawiyah kepada Hasan Basri bukan untuk mendapat kepastian tetapi lebih kapada untuk menolok peminangan tersebut dengan satu alasan yang boleh diterima oleh semua orang, fakta berkenaan telah mereka sedia maklum sejak sekian lama..

So..? kena dapatkan jawapan yang sebanar..:) kerana kenyataan saudara adalah tersasar. INgin mengguna talian hayat..?

wallahualam..

Razgriz クラン said...

Kerana Kekurangan itu ianya melengkapkan kita semua dengan sebab untuk berpasangan..
Lelaki 9 akal,perempuan 1 akal..
jika dilihat ianya berat sebelah..
lelaki 1 satu nafsu,perempuan 9 nafsu..
Juga dilihat berat sebelah..
jadi apakah perumpamaan ini semata diadakan untuk menghina?
Jawapannya Tidak..
jika ditambah perbezaan nafsu dan akal antara lelaki dan perempuan,
Sekaligus kita akan memperolehi KESEIMBANGAN dalam berpasangan..
10 akal,10 nafsu..
dalam satu pasangan..nafsu adalah keinginan,yang dimana ianya mendorong kita untuk berkembang,dan akal adalah sempadan yang mengawal nafsu..

sekaligus,ianya menyeimbangkan dan melengkapkan antara lelaki dan perempuan untuk berpasangan..

Mungkin jawapannya kabur..
wallahua'alam..

hanya cetusan idea dari pandangan saya..

Bawang Goreng said...

Baru-baru ini saya ada baca :

Menurut al-Fadhil Dr Abu Zaid, Ahmad Najib Abdullah al-Qari [mantan pensyarah KIAS, sekarang di APIUM, Nilam Puri] melalui makalah beliau dalam majalah “Pengasuh” terbitan MAIK bil 623:

Cerita ini tidak benar sama sekali untuk dinisbahkan kepada al-Hasan al-Basri (apalagi kepada Rasulullah saw) kerana ia diambil daripada sumber yang tidak sahih. Hujahnya mudah sahaja, al-Hasan al-Basri dilahirkan pada tahun 21H dan meninggal dunia pada 110H. Manakala Rabiatul Adawiyah pula -berdasarkan pendapat yang paling tepat- dilahirkan pada tahun 100H dan meninggal dunia pada 180H [Lihat: Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala’: 8341].

Ini bermakna ketika al-Hasan meninggal dunia, Rabiatul Adawiyah baru berumur 10 tahun, bagaimana pula boleh berlaku dialog sedemikian di antara mereka berdua?

Untuk maklumat lanjut sila lihat majalah “Pengasuh” yang tersebut di atas tadi. Wallahua’lam.

Akhukum, Abu Anas Madani, 23 Syawal 1432H.

-----

Jadi, yang mana satu betul?

Nabi tidak pernah menyatakan demikian. Cuma yang ada, untuk kesaksian cukup seorang lelaki, manakala wanita 2 orang...