Tuesday, December 20, 2005

Pengisian Ilmu

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji bagi Allah kerana telah memberi ruang kepada penulis untuk berkongsi sedikit pengisian pada kali ini. Pada mulanya penulis berhasrat untuk menulis mengenai asas-asas tasawuf Islam. Tetapi oleh kerana dek kekangan waktu, menghalang penulis untuk menunaikan hasrat tersebut. Mungkin sedikit waktu lagi penulis akan dapat melaksanakan hasrat penulis itu, InsyaAllah. Walaubagaimanapun, pada kesempatan ini, penulis ingin menyampaikan sedikit mutiara ilmu yang penulis timba pada hari ini.

Semoga ianya bermanfaat kepada para netter semua. Penulis mempunyai dua pengisian. Pertama adalah kupasan pandangan Syaikh Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya yang bertajuk “FATAWA QARDHAWI”

Penulis ingin mengutarakan pandangan Syaikh Yusuf mengenai jemaah hari ini yang disebut sebagai jemaah Attakfir, jemaah Al-Hijrah, dan Fundamentalis Islam. Bagaimanakah Islam memandang perkara ini dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku.

Hal tersebut amat berbahaya dan telah menjadi perhatian besar bagi kaum muslimin khususnya kerana timbul pemikiran yang terlampau ekstrem. Dalam hal itu, Yusuf Qardhawi telah menyiapkan buku khusus mengenai masalah tersebut. Syaikh Yusuf telah mengemukakan mengapa perlunya kepada pengkajian atas sebab timbulnya fikiran yang ekstrem dan cara-cara menghadapinya.

PERTAMA, tiap-tiap fikiran atau pendapat harus dilawan dengan fikiran dan diubati dengan keterangan serta dalil-dalil yang kuat sehingga dapat menghilangkan keraguan dan pandangan yang keliru itu. Jika menggunakan kekerasan, sudah tentu tidak akan ada faedahnya.

KEDUA, mereka (orang yang berpandangan salah) umumnya adalah orang-orang yang baik, kuat agamanya dan tekun ibadahnya. Mereka menuntut kepada kebaikan walaupun jalan fikirannya menyimpang pada jalan yang salah dan sesat kerana mereka tidak mengerti.

Maka sebaiknya kita menghormati niat mereka yang baik itu. Jangan mereka digambarkan sebagai binatang buas atau penjahat bagi masyarakat. Tetapi hendaklah dengan pengarahan dan bimbingan ke jalan yang benar kerana tujuan mereka baik. Cuma mereka tersesat jalan.

Sebab-sebab timbul pemikiran sebegitu:-

PERTAMA, tersebarnya kebatilan, kemaksiatan dan kekufuran yang secara terang-terangan dan terbuka di tengah-tengah masyarakat Islam tanpa ada usaha pencegahannya.

KEDUA, sikap para ulama yang amat lunak terhadap mereka yang secara terang-terang menjalankan praktik orang kafir dan memusuhi orang Islam.

KETIGA, kurangnya pengetahuan mereka tentang agama dan tidak adanya pendalaman ilmu-ilmu dan hukum-hukum Islam secara keseluruhan. Oleh itu, mereka hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain dengan fahaman yang keliru dan menyesatkan.

KEIKHLASAN dan SEMANGAT sahaja TIDAK MENCUKUPI sebagai bekal jika tidak disertai dasar yang kuat dan pemahaman yang kuat dan pemahaman yang mendalam mengenai hukum Islam. Terutama mengenai hukum syariat dan ilmu fiqh. Maka mereka ini akan mengalami nasib yang sama seperti PARA KHAWARIJ di masa lampau, sebagaimana keterangan Al Imam Ahmad.

Oleh itu, orang-orang soleh selalu menganjurkan untuk menuntut ilmu dan memperkuat diri dengan pengetahuan Islam sebelum melakukan ibadat dan perjuangan agar teguh pendirian dan tidak kehilangan arah.

Al Hasan Al Basri berkata:

“Segala amalan tanpa dasar ilmu, seperti orang yang berjalan tetapi tidak pada tempatnya berpijak”

Tiap-tiap amalan tanpa ilmu akan menimbulkan kerosakan lebih banyak daripada kebaikannya. Tuntutlah ilmu sehingga tidak membawa mudharat kepada ibadah dan lakukanlah ibadat yang tidak membawa mudharat kepada ilmu.Maka ada segolongan kaum yang melakukan ibadat dan meninggalkan ilmu, sehingga mereka mengangkat pedangnya untuk melawan Umat Muhammad yang termasuk saudaranya sesama muslim. Jika mereka memiliki ilmu, tentu ilmu itu tidak akan membawa ke arah perbuatan itu!!!

Pengisian kedua penulis dipetik dari kitab Attajul jaami’ lil ushuul fii ahaadiit sir Rasul-1. Muka surat 179-180. Karangan Syaikh Manshur Ali Nashif.

Ianya berkaitan dengan Etika Ilmu di dalam Islam.

Sahabat Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Nabi saw telah bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang diberi fatwa tanpa ilmu, maka dosanya dibebankan kepada orang yang memberi fatwa. Dan barangsiapa yang mengisyaratkan sesuatu perkara kepada saudara (semuslim)nya, padahal ia mengetahui jalan yang benar bukan perkara itu, sesungguhnya ia telah berlaku khianat terhadapnya,” (Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Keterangan

Barangsiapa yang diberi suatu fatwa oleh orang lain yang tidak memiliki ilmu, lalu mengamalkannya dengan penuh ketakwaan persis seperti apa yang didengar. Dan ternyata fatwa itu terdapat dosa, maka dosa itu dibebankan kepada pemberi fatwa bukan kepada yang mengamalkan fatwa, ia dimaafkan kerana kejahilannya.

Mengisyaratkan maksudnya memberi nasihat yang salah kepada sahabatnya, sedangkan ia mengetahui bahawa nasihatnya itu adalah batil, maka ia telah berlaku khianat.

Pengertian khianat di sini kerana ia telah melanggar kepercayaan yang diberikan kepadanya. Dia memberi nasihat yang batil sedangkan agama itu adalah nasihat.

Termasuk di antara etika atau adab di dalam ilmu ialah HENDAKNYA SESEORANG ITU TIDAK MENGATAKAN SESUATU YANG TIDAK DIKUASAINYA ATAU TIDAK DIKETAHUINYA. DAN HENDAKNYA JANGAN MEMBERI FATWA TANPA ILMU.

Sekian, pengisian buat kali ini.

Wassalamualaikum

Khairol Al Keriani
Anjung Damai



No comments: