Wednesday, December 07, 2005

Kalimatun sawa'

Isu perbedaan madzhab menjadi topik perdebatan hangat mutahir ini. Permasalahan gerakan “wahhabi” telah mengheret saya untuk melontarkan fikrah selaku seorang pelajar yang melihat dan mendengar. Minggu lepas akhbar Mingguan Malaysia telah memaparkan pandangan Dr Uthman El Muhammady yang menyatakan kebimbangannya terhadap gerakan “wahhabi” di Malaysia ini. Kebimbangan beliau itu pada pandangan saya ada pro dan kontranya. Sebelum itu suka saya nyatakan bahawa pandangan saya ini bukanlah bias kepada mana-mana pihak. Ianya lahir daripada pengamatan dan pemerhatian saya sendiri.

Saya tidak mahu membangkitkan tentang isu tahlilan, berzikir, dan lain-lain perkara furu’ kerana ianya hanyalah berlegar dalam perkara khilaf. Cuma apa yang ingin saya bangkitkan adalah sikap ataupun akhlak orang-orang yang mengaku sebagai salafi dan mengikut jalan salafus soleh.

Sebagai mana yang kita tahu, orang melayu di benua ini sangat kaya dengan adat resam dan pantang larang. Setelah Nur Islam terpancar di nusantara ini, maka sedikit demi sedikit amalan yang berbentuk syirik dan khurafat terhakis dengan peredaran zaman. Secara peribadi saya berasa gembira jika ramai di kalangan sahabat-sahabat pelajar kita yang begitu serius dan konsisten dalam mengkaji amalan-amalan masyarakat melayu ini sama ada di sandarkan kepada hadith yang benar-benar rajih dan sahih.

Cuma saya ingin menegur sikap sahabat kita yang dengan lancang memarahi orang lain yang melakukan tahlilan dan sebagainya. Atau tidak pun secara sinis menegur orang lain seolah-olah dia adalah lebih arif atau lebih tahu dalam urusan beragama. Inilah yang dikatakan sebagai sikap “beruk baru mendapat bunga.”

Tidakkah kita mempelajari daripada sejarah bagaimana Islam tersebar di nusantara ini. Bagaimana wali-wali songo menjalankan usaha dakwah mereka? Tidakkah kita mempelajari metode psikologi dalam berdakwah. Berkeras dalam perkara perbedaan hanya merugikan kedua-dua belah pihak. Di manakah akhlak dalam jiwa seorang yang bergelar daie’? Bukankah Rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Saya rasa mungkin perkara ini yang merisaukan Dr Uthman El Muhammady.

Cuma pandangan beliau berkenaan dengan “wahhabi” yang meruntuhkan khilafah uthmaniah perlu dikaji secara fakta yang adil supaya tidak wujud kekeliruan di kalangan orang awam. Selain daripada mendalami ilmu hadith dan fekah, ilmu tasawwuf tidak wajar dilupakan. Bukankah tasawwuf juga adalah salah satu daripada juzu’ sifat-sifat Rasulullah. Cuma apa yang perlu diingat, dalam memahami ilmu-ilmu tasawwuf, biarlah diterokai dengan ilmu dan janganlah main ikut semborono sahaja kerana ia mungkin akan menjerumuskan diri pengamalnya ke lembah kesesatan. Secara tidak langsung ianya bercanggah daripada konsep ilmu tasawwuf sebenar yang dikenali sebagai cara untuk menyucikan jiwa (tadzkiyyatun nafs)

Saya juga ingin mengingatkan sahabat-sahabat saya agar tidak lancang menghina ulama-ulama sama ada ulama itu salaf mahupun khalaf. Menyerang peribadi seseorang muslim bukanlah perkara yang diajar di dalam syariat Islam. Dunia hari ini dipenuhi dengan fitnah dan janganlah kita menjadi salah seorang daripada manusia yang menyebarkan fitnah itu. Janganlah kerana kita fanatik kepada sesuatu ulama, sehingga kita sanggup menghina dan menolak ulama lain yang tidak sealiran dengan kita.

Cukuplah setakat ini jika kita hanya mahu bertelagah dalam perkara yang berkaitan masalah furu’ semata. Tidakkah kita mahu melihat Islam berkembang mekar daripada dijajah pemikiran yang tidak kunjung putus. Jika kita mahu membincangkan isu “wahhabi” ini dengan lebih mendalam saya kira isu ta’wilan dan tawassul wajar dibincangkan secara serius dan telus kerana itu berkaitan dengan akidah umat Islam. Cukuplah kita bergaduh hanya kerana qunut. Nampaknya begitu keanak-anakan. Belajarlah cara untuk bertoleransi dan mencari titik persamaan. Itu adalah lebih aula bagi sikap sebagai seorang dai’e.

Khairol Khalid

Multimedia University, Melaka

1 comment:

Suriya said...

Syabas
Satu penulisan yang seimbang dan matang