Di sebalik dinding balai ini,
Ada sebuah sejarah tersembunyi,
Di sebalik nion bernyala ini,
Ada satu nostalgia yang pernah bersemi,
Di ruang balai ini terpalit sebuah peristiwa,
Gelanggang pertarungan minda dan emosi,
3 Mac 1967 mencarik bunga kembang sepatu,
Sebangsa seteru seagama ragu,
Balai inilah saksi utama hingga ke hari ini.
Menyimpan sebuah perjuangan bermakna,
Demi maruah bahasa, demi daulat bangsa,
Berhimpun berarak pejuang-pejuangnya.
Balai ini saksi utama,
Melihat Syed Nasir Panglima Bahasa,
Menitis air mata dalam bicara,
Menahan pedih dan pahitnya,
Bergelojak semangat juang bahasa
Mengumpul andang juang menghela nafas,
Walaupun di mata perjuangan seakan tewas,
Namun di batin maruah taat mengenggam sumpah Tun Tuah,
Takkan Melayu hilang di dunia,
Takkan bahasa Melayu hilang di dunia,
Ini sumpah pendekar bahasa.
Balai ini saksi utama,
Menghimpun pejuang-pejuang bahasa,
Dada yang panas membara,
Bertarung gundah dan kesah,
Keringat air mata dan maruah.
Membakar suasana berlaung gegak gempita
Biar dada kami dibakar,
Demi maruah bahasa,
Jangan sesekali dicabar,
Demi daulat bangsa,
Jangan sesekali dicalar.
Ini hak ketuanan kita,
Ini warisan nenek moyang kita
Ini sumpah pendekar bahasa.
Sebalik gegak gempita sayup suara sayu,
Terkubur jasad dalam keranda tidak berpaku,
Roh bahasa seakan tidak ketemu,
Andai aku pergi dahulu,
Pejuang-pejuangku teruskan langkahmu
Maruah bangsa harus dibela,
Daulat bahasa harus hidup semula.
Balai ini saksi setia,
Mengira untung nasib bahasa bangsanya,
Di sebalik senyum terpalit air mata,
Di sebalik riang berbekas parut duka
Di sebalik sumpah pendekar bahasa,
Tersemat jiwa setia melunas tekad sekata.
Hari ini kita berhimpun di sini,
Balai ini hanya memandang sepi,
Anak-anak muda ini,
Bukan wajah yang pernah menghimpun duka memerah cinta,
Bukan wajah yang pernah bersumpah ikrar setia,
Berpadu darah dan jiwa menagih seksa cinta bahasa.
Balai ini berbicara sepi,
Untuk apa kalian hadir ke sini lagi,
Untuk apa,
Hanya penyeri suasana,
Ingin merasa juadah tersedia,
Menyejukkan badan dari bahang di luarnya,
Bukan aku meminta kalian pergi,
Tapi biarlah hadirmu bermisi,
Pulangmu kelak berisi,
Bukan kosong langkahmu mati.
Akulah saksi air mata perjuangan mereka,
Yang kalian tidak pernah menitiskannya,
Yang menanggung kepalang peritnya,
Yang tidak pernah engkau rasa.
Terlentang sama menadah embun,
Tertungkup sama membaham bumi.
Balai ini terus bersuara lagi,
Jika ada yang bertanya mana bukti juangnya,
Tunjukkan di sinilah tempatnya,
Jika ada mempersoal jati diri bangsanya,
Di sinilah keringat air mata menitis,
Menyucikan daulat bahasa yang tercemar,
Jika ada yang mencari mayatnya,
Di sinilah kerandanya, bersemadi tanpa jasad.
Balai ini berpesan dalam sepi,
Hari ini biarlah langkahmu teratur gagah,
Usah mengalah walau digugah,
Untuk anak-anak muda,
Engkaulah harapan bangsa,
Bangkitkan semangat jiwamu mengenal cinta bahasa,
Tangkalkan cekal jiwa perkasa,
Biar genggam menjadi bara,
Iringkan doa limpah kurnia,
Demi maruah bahasa,
Demi daulat bangsa,
Demi nusa tercinta.
Sempena Konvensyen Mahasiswa Nasional IV, 2004
Balai Budaya Syed Nasir, DBP
Thursday, September 15, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment