Friday, September 23, 2005

SALAFIYYUN YANG SEBENAR

Oleh Khairol Khalid
Anjung Damai
Jumaat
12.42 am

Assalamualaikum warahmatullah.

Sahabatku yang dikasihi.

Sesungguhnya Islam hari ini telah dibayangi oleh pelbagai aliran pemikiran dan tareqat. Semuanya berusaha untuk mendapatkan maqam yang tertinggi yakni mardhatiLlah. Maka sifat fitrah kejadian manusia akan sentiasa mencari dan terus mencari, apakah formula sebenar untuk mencapai keredhaan yang hakiki itu.

Justeru wujudlah golongan mujtahid agama yang sentiasa berusaha berijtihad dan membudayakan keghairahan mencari ilmu bagi menyelongkar khazanah Islam yang sebenar.

Kelihatan hari ini ramai golongan-golongan muda yang sarat dengan usahanya untuk mendalami ilmu agama. Sayangnya dalam pencarian ini, mereka terkandas dan terkulai di tengah jalan. Pemahaman yang diterapkan dalam minda mereka begitu dangkal sehingga mereka menghukum sesuatu itu berdasarkan pengkajian mereka tanpa didasari oleh pemahaman ilmu yang utuh. Lantas mereka sendiri tidak pasti dan beranggapan bahawa hanya pandangan mereka sahaja yang sahih dan rajih berkiblatkan dengan penemuan mereka.

Mereka berhukum dengan apa yang mereka pelajari, dan yang lebih malang sumber ilmu yang mereka dapati adalah daripada sumber-sumber seperti internet dan melalui pembacaan mereka semata. Mereka jarang mendengar kuliah dan bertanya sendiri “lutut bertemu lutut” kepada guru yang lebih aula berkenaan sesuatu isu. Padahnya mereka memahami perkara itu secara serong dan songsang yang bakal membawa impak maha dasyat.

Kadangkala sehingga ke tahap yang melampaui batas, mereka merasakan diri mereka seolah-olah lebih Islam dari orang lain. Mereka menolak dengan keras amalan-amalan yang tidak ada di dalam Al Quran dan Hadith tanpa melihat kepada uslub dakwah dan fiqh al aulawiyat (fiqh keutamaan). Perkara-perkara furu’ (cabang) dilihat sebagai perkara yang besar. Mereka cukup marah apabila melihat orang awam melakukan amalan yang tidak ada sandaran kepada sunnah Nabi. Mereka begitu berkobar-kobar untuk menukar masyarakat kepada ahl al-salaf mengikut kacamata mereka. Mereka taksub dan cenderung kepada ulama’-ulama’ atau penceramah-penceramah tertentu sahaja. Ini amat berbahaya di dalam aliran dunia pemikiran Islam.

Ini mengingatkan penulis kepada kata-kata Dr Siddiq Fadzil, “ Marahnya orang-orang yang mengaku diri mereka salafiyyun ini kepada orang yang solat subuh dengan membaca doa qunut adalah lebih teruk daripada orang yang tidak solat langsung. Lebih hina orang yang bersolat dengan membaca doa qunut daripada orang yang langsung tidak solat. Seolah-olahnya orang yang tidak solat itu adalah lebih baik daripada orang yang bersolat subuh dengan membaca doa qunut”

Tinta penulis hari ini ingin mengupas daripada apa yang ditulis dan diterjemahkan oleh Al Marhum Ustaz Abdul Wahab Zakaria. Beliau adalah seorang ilmuan yang amat dihormati pada zamannya, dan keluasan ilmunya diyakini dan diiktiraf walaupun beliau sudah tiada lagi. Pesanan arwah adalah pesanan seorang daie’. Almarhum sendiri telah menulis berkenaan dengan GERAKAN SALAFIYYAH seperti yang telah digembar-gemburkan di Malaysia mutahir ini walaupun sebenarnya di tanah arab perkara ini sudah lama berlaku. Apakah salafi yang sebenarnya dan bagaimana yang dikatakan sebagai salafiyyun wahabiyyun.

Penulis boleh mengkategorikan isu Salafiyyah ini kepada beberapa perkara.

  1. Siapakah salafus soleh
  2. Manhaj salafi

i. Persoalan Akidah (Ta’wil)

ii. Persoalan Qada’ dan Qadar

iii.Penekanan kepada Penghayatan Islam

  1. Sikap dan peribadi salafi
  2. Maksud salafiyyun
  3. Asas pemikiran salafiyyun
  4. Gerakan salafiyyah
  5. Kesimpulan

Penulisan ini agak berat dan tidak mungkin dapat dikupas dengan tulisan penulis yang ringkas ini. Namun penulis berharap agar kekeliruan tentang hal ini dapat dijernihkan. InsyaAllah.

SIAPAKAH SALAFUS SOLEH

Mereka ini adalah adalah generasi muslimin yang terbaik, terpilih dan termulia selepas para Anbiya’ sebagaimana firman Allah,

Terjemahan: Orang-orang yang terdahulu, lagi yang pertama-tama (masuk Islam) diantara orang muhajirin dan ansar dan orang yang mengikut mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha dengan Allah. (at-Tawbah 9:100)

Khuzaifah bin al Yaman berkata, “Wahai Qurra’ (penghafaz Al Quran) beristiqamahlah kamu, ambillah jalan orang-orang sebelum kamu, demi Allah jika kamu mengikuti mereka, kamu telah berada jauh di hadapan, dan jika kamu mengambil jalan kanan dan kiri, kamu telah jauh tersesat.

Para sahabat menerima didikan langsung dari Rasulullah. Mereka menerima Islam di dalam keadaannya tulen dan jernih. Hati mereka terbuka kepada Al Quran dan Iman. Mereka berjihad dengan jiwa dan tenaga, kemudian mengembangkan ajaran mereka kepada Tabi’in sebagaimana yang diterima oleh mereka daripada cahaya kenabian secara terang dan bersih. Daripada Rabb Al Alamin yang benar lagi mulia diutuskan kepada Jibril as, kemudiannya diwahyukan kepada Nabi saw, terus kepada para sahabat salafus soleh.

Mereka menerima pertanggungjawaban daripada Nabi dan kemudiaannya diteruskan oleh Tabi’in, disambung pula manhaj mereka oleh Tabi’in al-Tabi’in sehinggalah kepada kita hari ini. (wa man tabi’ahum bi ihsaanin ilaa yau middin)

Para sahabat merupakan generasi pertama Islam. Mereka membaca Al Quran bukan kerana tujuan ilmu dan meluaskan pandangan, bukan kerana berhibur atau bertelagah berkenaan persoalan Fiqah (Furu’) semata, atau kerana penulisan ilmiah.

Tetapi mereka membaca Al Quran sebagai perintah daripada Allah untuk ditegakkan di dalam kehidupan seharian dan di dalam jemaah, dilaksanakan sahaja perintah tersebut apabila diterima seperti mana seorang tentera menerima perintah harian di medan perang.

Begitulah kehidupan para sahabat di dalam beragama. Mereka adalah generasi yang unik memikul tanggungjawab Islam. Mereka disebut sebagai Isabat al Iman atau Askar Al Quran dan Junud ar-Rahman. Mereka itulah digolongkan di dalam Ashab al-Salaf al-Salih.

Maksud As-Salaf adalah “terdahulu”. Ahl As Salaf ertinya orang yang terdahulu. Dimaksudkan dengan mereka adalah sahabat yang empat yakni Khalifah sesudah Nabi, dan juga para sahabat Nabi lain yang hidup pada ketika itu, termasuk Tabi’in yang terpilih. Namun ada ulama yang memasukkan golongan Tabi’in al- Tabi’in, bahkan ada yang memasukkan golongan ulama selepas Tabi’in al- Tabi’in dengan menilai kehidupan dan thiqah mereka.

Ringkasnya, orang yang dimasukkan di dalam golongan ahl as- Salaf ialah orang yang hidup 300 tahun sejak masa Nabi saw. Golongan yang terkemudian dinamakan sebagai ahl al-khalaf (orang yang terkemudian)

Selama 3 abad yang terawal itu adalah generasi yang paling bersih di dalam hal perkembangan akidah, syariah dan akhlaq islami. Dalam periode ini boleh dikatakan tidak timbul perbahasan ilmu kalam, perselisihan mazhab, kelahiran bentuk2 tareqah, sekalipun wujud pergolakan pada zaman Uthman dan Ali.

Mereka dikira sebagai ahl as-salaf kerana hampir dengan baginda rasulullah. Mereka beramal dengan apa yang diajar oleh Nabi. Mereka tidak menambah atau mengurangkan dalam perkara yang telah ditetapkan di dalam Al Quran dan As Sunnah. Ini kerana nabi masih hidup dan segala masalah dapat dirujuk kepada Rasulullah. Mereka bersaksi dengan kesaksian Rasulullah. Sesungguhnya tidak ada keraguan pada diri mereka.

MANHAJ SALAFI

Rata-rata Ahl as-salaf tunduk kepada Nas dan kurang menggunakan logik akal dalam menta’wilkan sesuatu berkenaan hal agama. Mereka beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain kerana ianya adalah perintah Allah dan Rasul Nya.

Mereka melakukan tuntutan Islam yang lima, tetapi tidak menafsirkan ibadat tersebut yang ada kaitan pada asalnya dengan ekonomi, kesihatan dan kemasyarakatan. Contohnya zakat dapat menjana kekuatan ekonomi. Bagi ahl as-salaf, mereka tidak akan menta’wilkan zakat itu menjana kekuatan ekonomi. Tetapi mereka hanya melakukannya dengar dasar perintah Allah. Mereka hanya berpegang dengan hikmah yg telah diterangkan di dalam Al Quran dan As Sunnah. Syiar amalan mereka adalah “sami’na wa ata’na” (Kami dengar, dan kami patuh)

Mereka tunduk kepada nas dengan ketundukan yang mutlak. Tunduk anggota, hati dan jiwa. Akal mereka berteraskan wahyu. Peranan wahyu menunjukkan akal kepada kebenaran, terutama dalam bidang yang bukan menjadi peranan akal utk menyelidikinya.

Mereka berpendapat, walaupun agama tidak bertentangan dengan akal, tetapi ia bukan hasil pemikiran manusia. Abu Dawud dan Al- Dar Qutni meriwayatkan daripada Saidina Ali, katanya, “ Kalau agama dicapai melalui fikiran, tentunya menyapu di bawah khuf lebih utama daripada menyapu di atasnya. Tetapi aku melihat Rasulullah menyapu di atasnya.”

Itulah jalan Ahl as-salaf al-salih dan jalan orang mu’min. Iaitu hanya sujud kepada Allah, tunduk secara total kepada Nas, bukan kepada akal. Andaian dan kajian berteraskan ilmu tauhidik.

i. Persoalan Akidah (Ta’wil)

Dalam persoalan akidah, mereka tidak langsung mempersoalkan tentang persoalan kewujudan Allah, persoalan sifat Allah, dan persoalan Qada’ dan Qadar.

Justeru mereka tidak pernah bertanya atau memperbincangkan tentang dalil kewujudan Ar-Rahman. Ini kerana rasulullah sendiri memulakan dakwahnya dengan wahyu “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan” yang menuntut keimanan dan keyakinan yg penuh kepada Allah. Jadi tidak timbul sebarang bentuk argumentasi berkaitan hal wujudnya Allah.

Ahl as-salaf tidak pernah membangkitkan isu ini baik pada kurun pertama atau kedua hijrah. Umat Islam tidak perlu berbicara soal ini kerana bukan tugas akal untuk membuktikan tentang kewujudan Allah. Perbedaan antara Manhaj Iman dan Manhaj Ilmu ialah, manhaj iman dimulakan dengan yaqin, manakala manhaj ilmu dimulakan dengan ragu.

Mereka beriman dengan sifat Allah yang disebut sebagai “laisala kamithlahuu syai’” (tidak menyerupai sesuatu), tetapi mereka tidak menganalisa sifat tersebut mengikut akal fikiran mereka..

Jika mereka membaca ayat Quran dan Hadith yang menzahirkan sifat Allah seumpama al-yad, al-wajh, al-istiwa’, mereka menerima perkataan itu tanpa tafsiran lanjut.

Pendirian mereka adalah beriman dengan sifat-sifat tersebut tanpa mentanzihkan Allah daripada berjirim atau berjisim. Ini tidak bererti perkataan itu tidak bermakna, tetapi makna perkataan itu disesuaikan dengan keagungan dan kebesaran Allah.

Imam Malik pernah ditanya berkenaan dengan ayat “ Ar Rahmaanu alal a’rsyis tawaa” (Allah bersemayan di atas Arasy). Dia ditanya bagaimana yang dikatakan “bersemayan” itu. Imam Malik menjawab, “ Beriman dengannya adalah wajib, menolaknya adalah kafir, tetapi bertanya bagaimana caranya ‘bersemayan’ itu adalah bid’ah.

Kaedah mereka dalam masalah ini adalah “muruuhaa kamaa jaa’at” (terimalah ia sebagaimana ia datang).

Itulah pegangan ahl as-salaf al salih mengenai sifat Allah. Itulah juga pegangan Imam Malik, Imam Ahmad bin Hambal, dan Imam Syafie. Untuk menimbulkan permusuhan dalam masalah ini bukanlah dari manhaj mereka.

ii. Persoalan Qada’ dan Qadar

Persoalan ini termasuk di dalam ayat-ayat mutasyabihat. Mereka beriman dengannya kerana ia adalah salah satu dari rukun iman. Tetapi mereka tidak berbicara tentangnya kerana ditegah oleh Rasulullah.

Persoalan Qada’ dan Qadar dan hal-hal yang berkaitan dengannya seperti ikhtiyar, jibr, af’al al ibat dan persoalan lain adalah perkara yang telah dibahaskan oleh manusia semenjak zaman berzaman.

Golongan yahudi membicarakan tentangnya, maka lahirlah pelbagai aliran. Golongan nasrani juga memperdebatkannya, maka timbullah pelbagai perselisihan dan lahir pelbagai kumpulan.

Rasulullah mahu perkara ini diselesaikan dikalangan umatnya. Baginda mengambil sikap yang tegas melarang umatnya daripada membahaskan persoalan qada’ dan qadar.

Al- salaf as solih tunduk kepada arahan. Keikhlasan mereka beriman dan mengikut jejak baginda membawa kepada amalan dan akhlak nabawiyyah. Jika timbul sesuatu perkara, mereka merujuk kepada Al Quran dan Al Hadith. Jika masalah furu’ yang dibenarkan utk berijtihad, mereka melakukannya berdasarkan ketetapan rasulullah. Masing-masing berlumba kearah khairat dan maghfirah.

iii. Penekanan kepada Penghayatan Islam.

Mereka membaca Al Quran dengan penglihatan yang sebenar. Apabila bertemu dengan ayat-ayat yang memperkatakan sifat orang mu’min, fasiq, dan kafir, mereka merenung kepada diri mereka sendiri. Membuang segala yang mazmumah dan diisi dengan sifat mahmudah. Mereka adalah “ruhbaanullail fursaanunnahaar” (abid pada waktu malam, dan pahlawan perang pada waktu siang)

Syiar mereka adalah “saari’uu ilaa maghfiratin mirrabbihi” (berlumba-lumba mencari keampunan daripada tuhannya). Mereka gemar mempelajari ilmu berkaitan Al Quran dan As Sunnah.

Mereka memiliki Thiqah yang terpuji. Mereka bukan pelaku dosa. Mereka meninggalkan perkara yang melalaikan seperti nyanyian yang ditiru dari luar. Mereka tidak mengikut dan menciplak budaya bangsa lain yang hina kerana meninggalkan Al Quran dan As Sunnah. Mereka memiliki jatidiri yang kental. Mereka mengelakkan diri daripada mempelajari ilmu yang membawa mudharat dan tidak mendatangkan manfaat dalam meningkatkan amal ibadat mereka.

SIKAP DAN PERIBADI SALAFI

Antara sifat peribadi mereka adalah sabar, berani, tawakkal, mujahadah, muhasabah, dan zuhud. Zuhud bererti mereka tidak terikat dengan bebanan dunia. Jika dunia ditangan kanan mereka, dan akhirat di tangan kiri mereka. Sekiranya dunia itu terlalu berat sehingga perlu di pilih sama ada mahu melepaskan dunia atau akhirat, maka tentunya mereka akan melepaskan dunia demi utk akhirat.

Mereka suka mengeratkan silaturrahmi, berziarah, beriadah, berjalan di muka bumi sambil melihat kesan kebesaran Allah dan merapatkan ukhuwwatul islamiyyah berdasarkan konsep “wata’aa’wanuu alaa birri wattaqwa” (bertolong tolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa).

Apabila membincangkan sesuatu perkara, mereka lebih gemar untuk membicarakan tentang perkara-perkara yang mampu dilakukan daripada membicarakan perkara yang mustahil dilakukan.

Mereka tidak tergesa-gesa dalam memberi sesuatu fatwa. Mereka juga menjaga uslub dakwah mereka dan melihat kepada bi’ah dan uruf masyarakat setempat. Mereka menjawab perkara yang dirasakan penting sahaja. Kalau tidak mereka lebih suka mengatakan la adri atau la ahsan (saya tidak tahu atau saya bukan orang terbaik utk menjawabnya)

Ini hanyalah sebahagian daripada gaya hidup mereka. Terdapat pelbagai istilah yang diberikan kepada mereka sebagai melambangkan kewara’kan mereka. Sesetengah ulama menyebut mereka al fakih, al muhaddith dan lain-lain. Semoga kita semua termasuk di dalam kalangan mereka.

MAKSUD SALAFIYYUN

Al-Salafiyyun adalah ulama dan orang-orang yang menisbahkan diri mereka mengikuti ahl al-salaf. Keseluruhan pendapat dan pandangan mereka mengenai akidah dinisbahkan kepada manhaj yang digariskan Imam Ahmad bin Hambal r.a yang acapkali membincangkan mengenai akidah salaf di dalam kitabnya.

Penulisannya dan pendapatnya itu diteruskan oleh Syeikul Islam, Ibnu Taimiyyah pada kurun ke 7 hijriah dan seterusnya dibangkitkan semula secara serius oleh Syeikh Muhammad bin al-Wahhab pada kurun ke 12 hijriah semenanjung tanah hijjaz. Alirannya kemudiaannya di kenali sebagai “mazhab wahhabi.”

Kadangkala golongan yang mengaku sebagai salafiyyun marah apabila mereka digelar sebagai seorang wahhabi. Tetapi sedarkah mereka bahawa syeikh Muhammad bin al Wahhab adalah di antara reformis yang membangkitkan semula perkara ini. Jadi apabila di sebut sebagai wahhabi itu bukanlah sebagai satu hinaan, tetapi adalah kerana nasab aliran pemikiran yang mereka ikuti. Justeru tidak salah rasanya jika golongan yang mahu mengikut jalan salaf di gelar sebagai wahhabi.

Imam Ahmad bin Hambal telah mengikuti aliran pemikiran salafus soleh. Iaitu prinsip berdasarkan Al Quran dan As Sunnah. Prinsip ‘Sunnah’ berdasarkan pandangan beliau adalah:

1. Berpegang dengan apa yang diamalkan oleh para sahabat Rasulullah dan pengikut mereka
2.Meninggalkan bid’ah kerana setiap bid’ah itu menyesatkan
3.Meninggalkan perbantahan, perselisihan dan pertentangan dalam agama

Menurut beliau, As Sunnah menafsirkan Al Quran dan menjadi dalil kepadanya. Imam Ahmad tidak menerima Qiyas digunakan di dalam hadith. Qiyas tidak diterima sebagai sumber penerimaan ilmu, namun ianya dibolehkan di dalam hal-hal berkaitan muamalat dan hukum hakam.

Iman Ahmad menyatakan bahawa maksud iman itu adalan I’tiqad, tasdiq perkataan dan perbuatan. Iman bertambah dengan amalan dan berkurang dengan maksiat. Orang Islam yang melakukan dosa besar tidak terkeluar dari Islam kecuali Syirik. Orang Islam yang melakukan maksiat tidak kekal di dalam neraka. Urusan mereka terletak kepada Allah sama ada mahu diampunkan atau dihukum seksa.

Inilah akidah yang benar. I’tiqad kumpulan yang terselamat. Yakni ahl sunnah wal jamaah yang terdiri daripada golongan salaf dan khalaf masa kini.

Ibnu Taimiyyah memperincikan mengapa golongan ini di sebut sebagai ahl sunnah wal jamaah. Jamaah itu adalah ijtima’ yakni berpadu. Lawannya adalah firqah yakni berpecah. Jalan mereka adalah;

1. Mengikut dasar Rasulullah zahir dan batin
2. Mengikut jalan as saabiquunal awwaluun yakni orang muhajir dan ansar

Antara prinsip ahl Sunnah wal jamaah ialah;

  1. Agama dan iman itu merangkumi taqrir, tasdiq, dan amal. Iman boleh bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan.
  2. Membenarkan karamat al auliya’ sebagaimana yang telah tercatat di dalam surah al kahfi.
  3. Menyuruh kepada yang ma’ruf dan menegah kepada yang mungkar.
  4. Memelihara jamaah
  5. Mendokong segala amalan mahmudah dan menolak amalan mazmumah.
  6. Wasatiah dan istiqamah dalam amalan.

Salafiyyun menegaskan bahawa kalimah syahadah itu adalah penafian untuk sebarang sekutu bagi Allah. Ucapan ini sekaligus merangkumi 3 jenis tauhid yakni tauhid asma’ wassiffah, tauhid rubbubiyyah, dan tauhid uluhiyyah.

Oleh kerana salafiyyun mendokong konsep wahdaniyyat yakni keesaan Allah taala yang mutlak baginya, maka dengan itu salafiyyun menolak tawassul, bernazar di atas kubur, dan perkara-perkara lain yang tidak ada sandaran hadith yang kukuh.

Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa salafiyyun tidak pernah mengkafirkan mana-mana golongan yang bertentang pendapat dengan mereka. Jadi tidak timbul isu kafir mengkafir ataupun diletakkan label ‘ahli bid’ah’. Itu bertentangan dengan amalan salafiyyun sendiri.

Kepada golongan yang terang-terang bertentangan dengan akidah Islam sekalipun, seperti golongan falsafah mutakallimun, mu’tazilah, suffiyah yang berfahaman ittihad dan fana’ dan yang seangkatan dengannya, mereka ini digolongkan kepada golongan yang cenderung kepada kesesatan. Salafiyyun tidak meletakkan mereka dalam kategori kafir atau dholaalul mubin (kesesatan yang nyata)

ASAS PEMIKIRAN SALAFIYYUN

  1. Al ittibaa’ la al ibtidaa’ yakni menurut nas dan tidak mengadakan sesuatu perkara yang telah disempurnakan oleh nabi.
  2. Menolak taqlid dan mengambil ijtihad dalam perkara yang belum diputuskan oleh nas dan perkara yang bertentangan dengannya. Namun ianya tergantung kepada keupayaan individu. Imam Syafie merantau menuntut ilmu agama sebelum menjadi imam yang muktabar. Jika rasa diri masih belum mampu untuk melakukan ijtihad, maka wajar kita bertaqlid kepada imam yang telah diketahui thiqahnya.
  3. Menolak akal dan mengambil naqal di dalam urusan I’tiqad
  4. Berjemaah dan mendukung ajaran Islam dan menolak perpecahan.

Konsep Islam yang dijunjung adalah pegangan ahl sunnah wal jamaah dan jalan yang diikuti adalah jalan ahl al salaf al soleh.

GERAKAN SALAFIYYAH

Gerakan ini dikenali sebagai gerakan yang ingin memurnikan kembali ajaran Islam yang sebenar. Sesudah zaman salafus soleh berakhir pada kurun ke 3 hijriah, pemikiran umat Islam pada ketika itu diselubungi oleh metodologi dari Yunani di dalam bidang ilmu kalam. Perpecahan dan peperangan sesama masyarakat Islam berlaku. Diikuti oleh kejatuah Sepanyol ke atas tentera Salib. Kekalahan umat Islam di timur dan di barat berlaku pada akhir kurun ke 19 Masehi. Menyaksikan sebahagian besar negara Islam jatuh ke tangan barat atau blok-blok komunis.

Umat Islam pada ketika itu berada dalam keadaan yang amat lesu. Walau bagaimanapun, tetap wujud di kalangan umat ketika itu, jemaah yang mengikut jalan salafus soleh. Semangat penentangan kepada penjajah, sabar menanggung segala ujian, dan benci kepada kemungkaran dan kekufuran timbul di jiwa umat Islam ketika ditiupkan serpihan ruh jihad salafus soleh kepada mereka.

Semangat gerakan salafiyyah ini kemudiannya diterokai dan dijalankan secara serius oleh as syeikh ibnu Taimiyyah dan muridnya yang terkenal iaitu Ibnu Qayyim al Jawziyyah pada tahun ke 7 hijriah. Kemudian dilanjutkan oleh Syeikh Muhammad Abd Al Wahhab dan pengikutnya di sepanjang tanah arab pada kurun ke 12 hijriah hinggalah ke hari ini.

Mazhab Wahhabi berasaskan imam Ahmad bin Hambal merupakan mazhab rasmi kerajaan arab Saudi.

Di Mesir, Assyahid Imam Hasan Al Banna menegaskan bahawa gerakan ikhwan adalah “Dakwah Salafiyyah”. Ini dibuktikan dalam kitab beliau yang berjudul al a’qaid. Kitab itu secara jelas menggariskankan ketetapan akidah berlandaskan jalan salafus soleh.

Gerakan Jama’at al-Islami di Pakistan dan Jemaah Tabligh yang berpusat di India pada dasarnya adalah di antara gerakan yang mengajak kepada Al Quran dan Al Hadith. Kitab-kitab yang ditulis oleh Ulama Jemaah itu secara jelas menunjukkan bahawa mereka mendukung ajaran salafus soleh sekalipun di dalam sesetengah perkara ada penilaian yang mempertikai manhaj mereka dalam mengikut jalan ini.

Gerakan Muhammadiyah di Indonesia juga mendukung ajaran salafiyyah. Ini kerana mereka juga menolak taqlid dan menggagaskan keperluan ijtihad jika berkemampuan.

Dua tokoh umat Islam pada abad ini iaitu Jamaluddin al Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh digelar sebagai ahl al islah. Mereka juga dikatakan mengikut jejak ahl al salaf kerana usaha dan jasa mereka menyedarkan umat Islam agar tidak terkongkong dalam kemunduran dan kejumudan.

Di Bangladesh Timur,satu gerakan yang dinamakan al faraaidhah dipelopori oleh Haji Shaairatullah pada tahun 1922. Matlamatnya juga mengajak umat Islam di tempat itu kembali kepada Al Quran dan Al Hadith dalam erti kata sebenar.

Pendek kata, di mana mana jua terdapat gerakan yang ingin membangunkan Islam. Mereka ini mendaulatkan Al Quran dan Al Hadith di dalam jiwa mereka. Justeru mereka juga di gelar sebagai salafiyyun yakni golongan yang mengikuti jejak langkah salafussoleh. Jadi kita tidak perlu mendabik dada untuk mengatakan bahawa hanya kita yang mengikut jalan salafussoleh. Di serata alam, fikrah Islam telah tersebar sebagai bukti kehebatan Allah dan bukti pengorbanan mujaddid-mujaddid Islam.

KESIMPULAN

Sudah pasti kita tidak mempunyai pilihan lain selain mengikut Al Quran dan Al Sunnah, menurut usul, kaedah dan matlamat sebagaimana yang telah digariskan Rasulullah saw.

Untuk memenuhi cita-cita itu, tidak ada jalan yang lebih ideal melainkan jalan ahl al salaf al soleh. Jalan itulah yang kita dukung dan tidak salah jika kita mengatakan bahawa kita adalah pendokong Dakwah Salafiyyah.

Abu Hasan Ali al Husni al Nadwi menyatakan para pengikut yang setia kepada Al Quran dan Al Sunnah, yang menyerahkan diri kepada Al Quran dan perjuangan Rasulullah disebut sebagai Rabbaniyyun Mukhlisun.

Al Salaf al Soleh adalah mukmin pilihan yang berjuang dalam masa 3 abad yang pertama Hijrah.

Al Salafiyyah pula adalah mereka yang menghayati dan mendukung Islam sebagaimana yang telah dilakukan oleh Al Salaf al Soleh dari segi kaedahnya dan spiritualnya.

Gerakan Salafiyyah ialah gerakan untuk mengembalikan umat Islam kepada kejernihan Islam yang asli. Ianya diperjuangkan sama ada oleh individu ataupun golongan yang berada di dalam Jamaah Islamiyyah. Selagi mana seseorang itu memperjuangkan Islam berteraskan kefahaman kepada Al Quran dan Al Sunnah, maka dia adalah salafiyyun dan berada di dalam gerakan Salafiyyah.

Antara prinsip Salafiyyun.

  1. Dengar dan patuh (sami’naa wa ata’naa)
  2. Menerima sebagai mana yang di sampaikan oleh Rasulullah.
  3. Tunduk kepada nas
  4. Berijtihad dalam perkara yang tidak diputuskan secara jelas oleh nas
  5. Sujud kepada Allah secara menyeluruh.

Setiap muslim haruslah mencontohi sifat ahl al salaf al soleh seperti ikhlas, sabar, berani, dan yang paling penting ialah tasaamuh (sikap berlapang dada). Jangan terlalu rigid dan menganggap diri sendiri sahaja yang betul. Raikanlah perbedaan pendapat dan berdakwahlah mengikut uslubnya.

Fahaman al salaf al soleh merangkumi makna ahl sunnah wal jamaah.

Sekian
Wassalamualaikum warahmatullah


1 comment:

jundihasan said...

sebetulnya ingin baca lebih lama, tapi maaf nanti saja ya..sudah mau berbuka puasa.
Allahu Ma'ak..

jundihasan
punyahasan.blogspot.com